Kementerian Pengangkutan kini sedang mengatur butiran terakhir bagi kadar cukai jalan dan lesen kenderaan motor (LKM) untuk kenderaan elektrik (EV) dan dijangka akan diumumkan bulan depan, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Beliau menyatakan bahawa antara butiran yang dipertimbangkan adalah untuk menjadikan kenderaan elektrik lebih menarik dan lebih murah berbanding kenderaan dengan enjin pembakaran dalam (ICE).
“Cabaran yang kita hadapi dalam proses penentuan cukai sekarang adalah bagaimana hendak membandingkan kapasiti (CC) kereta ICE dengan EV. Saat ini, pengguna EV tidak perlu membayar cukai, tetapi pembeli EV bimbang akan ditambahkan cukai yang mungkin lebih tinggi daripada kereta ICE.

“Komitmen kerajaan adalah untuk mengurangkan cukai yang berkaitan supaya pembeli EV dapat menikmati kadar cukai jalan yang munasabah. Oleh itu, kami berharap butiran cukai jalan EV akan diumumkan sebelum akhir April ini supaya kadar cukai jalan (EV) yang dikenakan masih munasabah,” katanya.
Dalam ucapannya, Loke menyatakan bahawa perkongsian teknologi dan pengetahuan antara China dan Malaysia melalui kerjasama seperti ini dapat memainkan peranan penting dalam memacu kemajuan dan memupuk inovasi dalam industri automotif, meningkatkan Malaysia sebagai destinasi menarik untuk pelaburan oleh pelabur global berkualiti tinggi.

“Langkah ini menekankan kepentingan Malaysia sebagai destinasi utama bagi pembangunan antarabangsa dan menonjolkan daya tarikan negara sebagai pasaran pilihan untuk usaha niaga automotif.
“Seiring dengan matlamat kita untuk mencapai pelepasan gas rumah hijau bersih sifar menjelang 2050, kita menggalakkan WTCA dan GAC Motor International untuk memperkenalkan lebih banyak produk ke Malaysia, terutamanya EV, sebagai sebahagian daripada usaha untuk menggalakkan pengangkutan lestari serta mengurangkan pelepasan karbon,” katanya.
Baca: Porsche Taycan Turbo GT – EV Produksi Paling Berkuasa Pernah Dibina
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
QJMotor SRK250RD 4 Silinder Dibuka Untuk Tempahan

QJMotor SRK250RD – Sportbike 250cc 4-Silinder Terbaru
QJMotor dari China tampil mencabar dominasi ZX-25R menerusi model sportbike baharu mereka, SRK250RD, yang baru dibuka untuk tempahan di Malaysia.
MForce Bike Holdings, pengedar rasmi QJMotor di Malaysia, difahamkan sedang merancang membawa masuk model 4-silinder ini dalam masa terdekat.
Walaupun belum ada pengumuman rasmi di laman web QJMotor Malaysia setakat ini, beberapa wakil penjual telah mula menerima tempahan awal.

Model SRK250RD ini merupakan salah satu tawaran global terkini QJMotor dan dijangka dilancarkan akhir 2025 atau awal 2026.
QJMotor mula memasuki pasaran Malaysia pada 2022 dengan model-model 250cc dua silinder seperti SRK250 (naked) dan SRK250RR (sports fairing).
Kedua-dua model ini dijual pada harga RM16,888 dan RM18,888 masing-masing.
Model-model terdahulu ini mendapat sambutan baik.
Versi terbaru SRK250RD dijangka meningkatkan lagi standard ini dengan enjin empat silinder berkuasa lebih tinggi serta pelbagai naik taraf spesifikasi.

Spesifikasi Teknikal Utama SRK250RD
Berikut ialah ringkasan spesifikasi teknikal dan ciri utama QJMotor SRK250RD yang diketahui setakat ini:
Enjin & Prestasi
Enjin empat silinder segaris 249 cc, DOHC 16-injap, sejukan cecair. Mampu mengeluarkan sekitar 40 hp pada 15,500 rpm dan tork puncak 22 Nm pada 12,500 rpm.
Rekaan enjin ini mirip konsep ZX-25R dengan rev maksima sangat tinggi, menjanjikan bunyi dan kuasa seperti jentera supersport.

Transmisi & Kuasa
Transmisi manual 6-kelajuan menyalurkan kuasa ke roda belakang.
Model ini turut dilengkapi klac jenis assist & slipper (ASC) untuk penukaran gear lebih lancar dan mengelak roda terkunci semasa penurunan gear mendadak (ciri yang lazim pada motosikal sport terkini).
Suspensi
Fork depan jenis terbalik Upside-Down (USD) memberikan kestabilan dan maklum balas cemerlang pada bahagian hadapan.
Di belakang, lengan ayun aluminium bersama suspensi monoshock (laras pra-bebanan) digunakan, sesuai untuk kawalan optimum semasa mengambil selekoh pada kelajuan tinggi.

Sistem Brek
Cakera depan 320 mm dengan angkup Brembo M4 radial monoblock memberikan daya membrek yang kuat dan konsisten.
Bahagian belakang pula menggunakan cakera 240 mm dengan angkup Brembo bersaiz besar.
Kedua-dua brek dilengkapi sistem ABS dwi-saluran sebagai ciri standard untuk mencegah roda terkunci ketika brek kecemasan.
Tayar & Roda
Saiz tayar sport 110/70-R17 di depan dan 150/60-R17 di belakang, bersesuaian dengan casis sportbike ringan.
Rim aloi 17 inci menyumbang kepada pengendalian lincah dan kestabilan pada kelajuan tinggi.
Berat & Kapasiti
Berat motosikal sekitar 176 kg (anggaran jisim kering). Menariknya, meskipun ber-enjin 4-silinder, berat SRK250RD hampir sama dengan model 2-silinder sebelum ini (SRK250RR ~175 kg kering).
Tangki petrol berkapasiti 16 liter disediakan untuk jarak tunggangan lebih jauh, lebih besar berbanding tangki 14 liter pada SRK250/RR lama.
Elektronik & Ciri Modern
SRK250RD dijangka dilengkapi sistem Traction Control (TCS) selain ABS, suatu ciri kawalan cengkaman yang jarang ada dalam segmen 250cc mampu milik.
Ciri ini membantu mengelakkan gelinciran tayar belakang ketika memecut di jalan licin.
Panel instrumentasi dipercayai sudah digital penuh (mungkin paparan TFT warna) memandangkan model QJMotor kelas lebih tinggi menggunakan panel TFT 5 inci.
Pencahayaan lampu depan dan belakang dijangka 100% LED seperti model-model QJMotor lain, memberikan pencahayaan terang dan penampilan moden.
Baca Juga : QJMOTOR Tawar Skuter Kompak – AX200S Di Pasaran Malaysia
Harga Jualan, Tempahan & Penghantaran di Malaysia
Harga rasmi QJMotor SRK250RD di Malaysia belum diumumkan secara muktamad.
Namun, sumber industri melaporkan harga jualan sasaran bawah RM23,000 tidak termasuk insurans dan cukai jalan.
Ini meletakkan SRK250RD pada kedudukan harga pertengahan – menawarkan enjin 4-silinder berprestasi pada kos ~30%.
Tempahan untuk SRK250RD telah pun dibuka melalui rangkaian pengedar sah QJMotor (MForce) di seluruh Malaysia.
MForce Bike Holdings menggalakkan pelanggan yang berminat supaya membuat pra-tempahan awal dengan deposit minimum di wakil pengedar terdekat.
Menurut hantaran rasmi di media sosial MForce, pembeli boleh “book now at MForce dealers nationwide” untuk model-model QJMotor baharu.
Senarai pengedar sah boleh didapati melalui laman web MForce/QJMotor Malaysia.
Langkah membuka tempahan awal ini memberi peluang kepada peminat untuk menjadi antara yang terawal memiliki SRK250RD apabila stok pertama tiba kelak.
Baca Juga QJMotor LTR150, Skuter Retro dengan Rekaan Klasik dan Ciri-Ciri Moden
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
MSF 2025 Pusingan 2 Kembali Gegarkan Litar Sepang

Aksi Perlumbaan Malam Kembali Menyala
Festival perlumbaan paling ikonik negara, Malaysia Speed Festival (MSF), kembali menghangatkan kalendar permotoran tempatan dengan pusingan kedua yang diberi nama “Saturday Night Fever”.
Dengan sokongan rasmi daripada Tourism Malaysia, perlumbaan akan berlangsung di South Track Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 19 dan 20 April 2025.
Sudah pasti bakal menjanjikan suasana perlumbaan waktu malam yang mendebarkan serta penuh adrenalin.

Menjulang Warisan Sukan Permotoran Negara
Bermula sejak 2010, MSF telah menjadi antara platform paling konsisten dalam memartabatkan sukan permotoran di peringkat akar umbi.
Memasuki tahun ke-15, MSF terus berpegang kepada objektif asalnya — menyediakan ruang perlumbaan yang mampu milik, selamat dan menyeronokkan buat komuniti peminat automotif tanah air.
Untuk pusingan kali ini, MSF kembali ke akar tradisinya di South Circuit yang lebih mesra penonton.
Perlumbaan kategori SuperTurismo akan dimulakan seawal jam 6:00 petang hingga lewat tengah malam.
Kategori SuperBikes pula akan berlangsung keesokan harinya (Ahad) di laluan yang sama.
Lebih menarik ini adalah perlumbaan pertama kali dalam sejarah MSF superbike dilangsungkan di litar ini.

Sokongan Tourism Malaysia: Permotoran sebagai Tarikan Pelancongan
MSF edisi kali ini menerima sokongan padu daripada Tourism Malaysia, selaras dengan kempen Visit Malaysia 2026.
Usaha ini bukan sahaja bertujuan memperkasa ekosistem sukan permotoran tempatan, malah sebagai medium untuk memperkenalkan Malaysia sebagai destinasi sukan bermotor utama di Asia Tenggara.

“Kami amat teruja dengan sokongan daripada Tourism Malaysia. Ini bukan sahaja membuka peluang pendedahan lebih luas kepada komuniti pelumba tempatan, malah menarik perhatian pelumba dan peminat antarabangsa,” kata Adian Yein, Prinsipal MSF.
Tambah beliau, MSF bukan asing dalam kalangan pelumba luar negara, dengan penyertaan daripada Singapura, Thailand, Indonesia, Hong Kong, Jepun dan juga benua Eropah.
Barisan Pelumba Elit dan Ikonik
Malaysia Speed Festival tidak pernah ketandusan bakat hebat.
Dalam pusingan pertama kategori SuperBikes, antara nama besar yang mencuri tumpuan termasuk Azlan Shah (bekas pelumba ARRC).
Selain itu Naomichi Uramoto (juara All Japan J-GP2 2016), Adam Norrodin (pelumba WorldSBK), dan Zulfahmi Khairuddin (bekas pelumba MotoGP dan pengasas ZK Racing).
Bagi kategori SuperTurismo, kehadiran legenda seperti Faidzil Alang, yang mencatat masa peribadi terbaik baharu di Sepang dengan catatan 2:16, turut memeriahkan perlumbaan.
Tidak ketinggalan, juara Gazoo Racing GT Cup Asia 2024, Taj Izrin Aiman, yang juga pelumba simulasi profesional, menambah dimensi baharu kepada pertandingan ini.

MSF Myvi Cup — Si Kecil Lincah, Kini Di Litar
Tahun ini turut menandakan kemunculan kategori baharu yang menarik perhatian.
Kategori tersebut adalah MSF Myvi Cup, yang memberi tumpuan kepada jentera ikonik rakyat Malaysia, Perodua Myvi.
Perlumbaan ini bakal menjadi tumpuan dalam pusingan kedua.
Tambahan pula dengan penganjuran di litar selatan yang lebih pantas, padat dan mencabar pada waktu malam.
Baca Juga : Malaysia Speed Festival Umumkan Pengenalan Myvi Cup dalam MSF Superturismo
Akses Untuk Semua — Motorsports Milik Rakyat
Mengukuhkan reputasi sebagai platform inklusif, MSF mengekalkan struktur kategori yang teratur serta bayaran penyertaan yang berpatutan.
Menurut Adian, ini adalah asas kepada kejayaan MSF yang berjaya menggabungkan pelumba profesional dan amatur dalam satu persekitaran kompetitif yang selamat.

“MSF bukan sekadar perlumbaan. Ia adalah jambatan antara dunia permotoran profesional dengan komuniti peminat. Inilah yang menjadikan MSF istimewa,” katanya.
Jom Ke Sepang — Tiket Bermula RM35
Pusingan 2 Malaysia Speed Festival akan diadakan pada 19 April (kategori SuperTurismo).
Manakala pada 20 April pula (kategori SuperBikes) di South Circuit Litar Antarabangsa Sepang.
Akses ke paddock boleh dibeli di pintu masuk pada hari acara dengan harga RM35 sehari.
Manakala tempat duduk Grandstand ditawarkan secara percuma.
Untuk peminat permotoran, inilah masa terbaik untuk menyaksikan keghairahan perlumbaan pada waktu malam di tanah air — MSF 2025.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Honda Racing Malaysia Perkenal Barisan Pelumba Untuk Musim Perlumbaan 2025

Penjenamaan Baharu, Aspirasi Baharu
Boon Siew Honda (BSH) kini memacu ke hadapan dengan semangat baharu apabila mengumumkan penjenamaan semula pasukan perlumbaannya kepada Honda Racing Malaysia bagi musim 2025.
Penjenamaan ini melibatkan semua penyertaan pasukan dalam kejohanan FIM Asia Road Racing Championship (ARRC), Superbike World Championship (WSBK), dan Malaysia Superbike Championship (MSBK).

Penggunaan nama Honda Racing Malaysia menggantikan Boon Siew Honda Racing Team bukan sekadar perubahan kosmetik, malah merupakan penghormatan terhadap legasi agung Honda Racing Corporation (HRC).
Langkah ini sekaligus menyatukan imej pasukan di pentas serantau dan antarabangsa di bawah satu jenama ikonik yang lebih kukuh.
Gabungan Juara Berpengalaman dan Bintang Baharu
Barisan pelumba musim 2025 menyaksikan gabungan strategik antara pelumba berpengalaman dan bakat muda yang sedang meningkat naik.
Dalam kategori utama Asia Superbike 1000cc (ASB1000) ARRC, dua nama besar kembali mendominasi.
Md Zaqhwan Zaidi, juara keseluruhan ASB1000 musim 2022 dan Azroy Hakeem Anuar akan terus beraksi bersama Idemitsu Honda Racing Malaysia dengan jentera terkini Honda CBR1000RR-R.
Kedua-dua pelumba ini telah menunjukkan prestasi luar biasa dalam perlumbaan sebelum ini, menjadikan mereka antara calon utama untuk merebut kejuaraan musim ini.

Lonjakan Dalam SuperSports 600cc
Dalam kategori SuperSports 600cc (SS600) pula, Md Helmi Azman, Khairul Idham Pawi (KIP) dan Syarifuddin Azman (Damok) telah dinaikkan dari kelas AP250 dan kini bersedia untuk membuktikan kemampuan mereka di peringkat lebih tinggi.
Ketiga-tiga pelumba ini telah mencipta impak besar di peringkat asia dan antarabangsa dan akan menunggang jentera Honda CBR600RR.
Keazaman dan ketekunan mereka terus menjadi aset penting buat Honda Racing Malaysia, dan peminat boleh menjangkakan persaingan sengit sepanjang musim ini.

Pelapis Muda Dalam Asia Production 250cc
Bagi kategori Asia Production 250cc (AP250), tumpuan diberikan kepada pelumba muda berbakat Md Irfan Haykal.
Beliau akan bertanding di bawah pasukan SCK Honda Racing.
Dengan menggunakan jentera Honda CBR250R, Irfan bertekad mencabar pesaingnya dan membuktikan kemampuannya sebagai pelapis masa depan Honda Racing Malaysia.
Serangan Di Peringkat Dunia
Honda Racing Malaysia turut memperkukuhkan kehadirannya di arena antarabangsa.
Dalam Superbike World Championship (WSBK), Md Zaqhwan Zaidi akan kembali bersaing dalam kategori SBK dengan jentera pilihannya, CBR1000RR-R.
Manakala dalam kategori World Supersport (WSSP), Syarifuddin Azman (Damok) akan mengambil cabaran baharu dengan CBR600RR.
Kedua-dua pelumba ini menjadi lambang keazaman Honda untuk menonjolkan kehebatan pelumba Asia di pentas dunia.
Aksi Tempatan Dalam MSBK
Malaysia Superbike Championship (MSBK) menyaksikan Haziq Fairues akan menjadi sandaran pasukan ini, bersaing dalam kategori 250cc dengan jentera CBR250RR.
Penglibatan dalam MSBK tidak hanya bertujuan untuk mengutip kejuaraan, tetapi juga sebagai platform pembangunan bakat tempatan yang lebih menyeluruh.
Komitmen Terhadap Pembangunan Sukan Permotoran
Pengurus Pasukan Honda Racing Malaysia, Encik Zulhelmi, menyatakan keyakinan tinggi terhadap potensi pasukan:
“Honda Racing Malaysia sentiasa komited dalam arena perlumbaan motosikal. Melalui ARRC, kami bukan sahaja mengenal pasti dan melatih pelumba profesional, malah menjadikan perlumbaan sebagai platform penting untuk ujian dan penyelidikan. Data yang dikumpulkan membantu kami memperkukuh prestasi dan memperhalusi kekurangan.”
Visi ini turut dikongsi oleh Ketua Pegawai Jualan dan Pemasaran Boon Siew Honda, Encik Kunitomo Asan, yang menambah:
“Musim 2025 bakal menjadi tahun yang penuh keterujaan dan harapan. Kami menumpukan kepada konsistensi dan pertumbuhan dengan matlamat menjuarai pelbagai kategori. Dengan gabungan pengalaman dan semangat juang tinggi pasukan, kami yakin kejayaan akan terus menyebelahi Honda Racing Malaysia.”
Ikuti Perjalanan Musim 2025
Peminat boleh mengikuti perkembangan pasukan ini sepanjang musim 2025 menerusi saluran rasmi mereka di laman Honda Racing Malaysia News, serta akaun Facebook dan Instagram mereka.
Baca Juga : Kunitomo Asano CEO Baharu Boon Siew Honda
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!



