Ads

Vespa Edizione Ottantesimo Tampil Sebagai Edisi Khas Ulang Tahun Ke-80

Vespa Edizione Ottantesimo: Edisi Ulang Tahun Ke-80, Terhad 1,946 Unit Untuk Pasaran Global

Vespa memperkenalkan Vespa Edizione Ottantesimo untuk pasaran global, sebuah model edisi khas yang dihasilkan sempena sambutan ulang tahun ke-80 jenama ikonik dari Itali itu.

Sejak diperkenalkan pada tahun 1946, Vespa bukan sekadar dikenali sebagai sebuah skuter, tetapi turut menjadi simbol “lifestyle” seseorang, elegan dan budaya mobiliti urban yang merentasi generasi.

Bagi meraikan perjalanan panjang tersebut, Vespa Edizione Ottantesimo tampil sebagai model eksklusif dengan pengeluaran terhad kepada 1,946 unit sahaja, angka yang merujuk kepada tahun kelahiran Vespa.

Vespa Edizione Ottantesimo Tampil Sebagai Edisi Khas Ulang Tahun Ke-80
Kredit Foto : Website Vespa

Reka Bentuk Istimewa Sempena 80 Tahun Vespa

Dari segi penampilan, Vespa Edizione Ottantesimo memberi penghormatan kepada identiti asal jenama itu menerusi penggunaan badan monocoque keluli, elemen yang cukup sinonim dengan Vespa sejak awal pengeluarannya.

Model ini menerima kemasan warna matt metallic grey yang diinspirasikan daripada rupa keluli mentah, sekali gus memberikan imej klasik tetapi moden. Warna asas tersebut dipadankan dengan sentuhan hijau pada tempat duduk, rim dan grafik khas, sebagai rujukan kepada model-model awal Vespa.

Pada panel sisi, terdapat grafik khas bertekstur tiga dimensi dengan angka 80, turut menggunakan warna hijau. Reka bentuk grafik ini bukan sekadar elemen dekorasi, tetapi membawa maksud simbolik kepada warisan pertukangan tangan dan karakter mekanikal yang menjadi sebahagian daripada sejarah Vespa.

Ads

Bagi mengukuhkan lagi nilai eksklusifnya, setiap unit turut dilengkapi dengan lencana bernombor yang diletakkan pada ruang bawah tempat duduk.

Vespa Edizione Ottantesimo Tampil Sebagai Edisi Khas Ulang Tahun Ke-80
Kredit Foto : Website Vespa

Didatangkan Bersama Helmet Khas

Menariknya, Vespa Edizione Ottantesimo turut didatangkan bersama sebuah helmet khas yang direka sepadan dengan identiti skuter ini.

Helmet tersebut menerima kemasan kelabu bertekstur dengan perincian hijau, manakala bahagian belakangnya menampilkan angka 80 yang selari dengan grafik pada badan skuter. Ia menjadikan edisi ini bukan sekadar sebuah model ulang tahun, tetapi satu set gaya lengkap buat pemilik yang menghargai nilai eksklusif Vespa.

Ads
Vespa Edizione Ottantesimo Tampil Sebagai Edisi Khas Ulang Tahun Ke-80
Kredit Foto : Website Vespa

Enjin 310cc, Kuasa 25 HP

Berdasarkan spesifikasi teknikal global yang dikongsikan, Vespa Edizione Ottantesimo menggunakan enjin satu silinder, empat lejang, empat injap dengan sistem suntikan elektronik.

Enjin berkapasiti 310cc itu menghasilkan kuasa maksimum 18.4 kW atau 25 HP pada 6,500 rpm, manakala tork maksimum pula berada pada 28.9 Nm pada 5,250 rpm. Sistem penyejukan cecair turut digunakan bagi membantu memastikan prestasi enjin lebih konsisten.

Dari segi penggunaan bahan api, model ini mencatatkan angka sekitar 31.25 km/l, dengan pelepasan CO2 sekitar 74 g/km.

Ads

Kuasa disalurkan menerusi transmisi CVT, manakala sistem brek menggunakan cakera keluli tahan karat bersaiz 220 mm di hadapan dan belakang. Sistem ABS dan ASR pula ditawarkan sebagai kelengkapan standard.

Vespa Edizione Ottantesimo Tampil Sebagai Edisi Khas Ulang Tahun Ke-80
Kredit Foto : Website Vespa

Aksesori Tambahan Untuk Lengkapkan Gaya

Vespa turut menawarkan beberapa aksesori khas untuk model ini, termasuk kotak simpanan belakang berkapasiti 36 liter dengan warna sepadan badan. Kotak tersebut juga boleh dipadankan dengan penyandar belakang berkusyen yang menggunakan warna dan material sama seperti tempat duduk.

Selain itu, pembeli juga boleh mendapatkan helmet kedua yang sepadan menerusi rangkaian pengedar rasmi Vespa, khususnya bagi mereka yang mahu melengkapkan pengalaman tunggangan berdua.

Baca Juga : Vespa 946 Horse Tiba di Malaysia, Hanya Tiga Unit Ditawarkan Pada Harga RM108,999

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Dapatkan tip automotif, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI Download sekarang!

KLIK DI SEENI
Ads

Menarik di Roda Panas

EV CKD Malaysia

Lebih Banyak EV CKD Malaysia, Apa Kesan Kepada Harga?

Pasaran kenderaan elektrik di Malaysia dijangka memasuki fasa baharu apabila beberapa jenama EV dari China dilaporkan merancang untuk memulakan pemasangan tempatan atau EV CKD...