Yamaha Ego Gear Pro Skuter Harian Dengan Nilai Praktikal Yang Tinggi
Dalam segmen skuter 125cc mampu milik di Malaysia, Yamaha Ego Gear Pro tampil sebagai antara pilihan paling praktikal untuk kegunaan hariaan. Model ini dibangunkan khusus untuk penjimatan bahan api dan kesesuaian untuk pelbagai lapisan pengguna, terutama untuk mereka yang tinggal di kawasan kampung atau bandar kecil.
Ego Gear Pro menggunakan enjin 125cc satu silinder dengan sistem suntikan bahan api, dipadankan bersama transmisi automatik CVT. Ia turut dilengkapi teknologi Blue Core Hybrid, yang memberi bantuan tambahan ketika pecutan awal cukup membantu dalam situasi stop-and-go seperti hantar anak sekolah atau bergerak dalam kawasan taman.
Beratnya sekitar 95 kg dengan ketinggian tempat duduk 750 mm, menjadikannya mudah dikendalikan oleh hampir semua golongan penunggang. Rekaan keseluruhan pula ringkas, dengan fokus kepada praktikaliti termasuk kawasan pemijak kaki yang rata, ruang simpanan besar dan pelbagai ciri kecil yang nampak biasa, tetapi sangat berguna dalam penggunaan harian.
Praktikal Untuk Suri Rumah
Antara kelebihan paling ketara pada Ego Gear Pro adalah rekaan dek kaki rata (flat floorboard) yang sangat mesra pengguna, terutamanya golongan suri rumah. Dalam konteks penggunaan harian seperti hantar anak ke sekolah, rekaan ini memberi kelebihan besar kerana mudah untuk naik dan turun, selain tidak menyusahkan pergerakan kaki.
Bagi yang memakai kain, sama ada kain batik atau kain pelekat, penggunaan skuter ini juga lebih selesa dan selamat. Posisi duduk yang rendah serta jarak ke tanah yang tidak terlalu tinggi membolehkan kaki mencecah tanah dengan mudah tanpa perlu mengimbangi badan secara berlebihan. Ini penting terutama ketika berhenti di simpang atau di hadapan sekolah.
Malah, untuk golongan ayah yang ke masjid dengan kain pelekat, Ego Gear Pro masih kekal praktikal dan tidak perlu risau tentang posisi kaki atau kawalan motosikal.
Ads
Penyangkut “Hook”
Satu lagi ciri yang nampak remeh tetapi sangat berguna adalah penyangkut atau “hook” di bahagian hadapan. Fungsi ini memang sangat membantu terutamanya bila ke pasar pagi, pasar malam atau sekadar singgah beli makanan.
Bayangkan situasi hantar anak ke sekolah sambil bawa bekal, hook ini boleh digunakan untuk sangkut plastik makanan tanpa perlu memegangnya atau meletakkan di tempat yang tidak stabil. Ia juga sesuai untuk menggantung beg kecil atau barang ringan tanpa mengganggu ruang kaki.
Dalam erti kata lain, ini adalah antara contoh ciri kecil yang menunjukkan Ego Gear Pro direka dengan pemahaman terhadap keperluan pengguna sebenar.
Ruang Bawah Tempat Duduk Yang Luas & Praktikal
Dari segi penyimpanan, Ego Gear Pro menawarkan ruang bawah tempat duduk yang agak luas untuk kelasnya. Ini menjadikannya sangat praktikal untuk kegunaan harian seperti membeli barang dapur atau keperluan rumah.
Ads
Rruang ini mampu memuatkan barangan basah dan kering sekali gus. Kalau ke kedai runcit atau “kedai Acheh”, bukan sekadar barang kecil malah boleh bawa barang yang agak banyak. Secara realistik, letak 2–3 ekor ayam bersama sayur-sayuran pun masih boleh muat tanpa masalah besar.
“Brake Lever Lock” Ciri Keselamatan Yang Sering Dipandang Remeh
Satu lagi ciri penting yang mungkin ramai tak ambil kisah adalah brake lever lock. Walaupun nampak seperti fungsi biasa, dalam situasi sebenar terutama ketika hantar anak ke sekolah ia sebenarnya sangat berguna.
Bayangkan situasi berhenti di hadapan sekolah, keadaan sedikit kelam-kabut, anak nak turun dan kita mungkin tidak sempat mematikan enjin. Dalam keadaan seperti ini, risiko motosikal tergerak akibat terpulas minyak secara tidak sengaja memang ada.
Dengan adanya brake lever lock, motosikal boleh dikunci dalam keadaan statik walaupun enjin masih hidup. Ini memberi fungsi keselamatan tambahan, terutama bagi pengguna yang membawa penumpang atau kanak-kanak.
Penjimatan Bahan Api, Sesuai Untuk Kawasan Kampung
Akhir sekali, antara kekuatan utama Ego Gear Pro adalah dari segi penjimatan bahan api. Dengan enjin Blue Core yang fokus kepada kecekapan serta bantuan sistem hybrid, penggunaan petrol boleh dikatakan sangat rendah untuk kegunaan harian.
Bagi mereka yang tinggal di kawasan kampung atau lokasi yang agak jauh dari stesen minyak, kelebihan ini sangat signifikan. Dalam penggunaan biasa seperti hantar dan ambil anak sekolah, pergi ke kedai runcit atau ke masjid, satu tangki penuh mampu bertahan sehingga seminggu atau lebih.
Ini bukan sahaja menjimatkan kos, tetapi juga mengurangkan keperluan untuk kerap ke stesen minyak, satu kelebihan yang mungkin nampak kecil, tetapi sangat dirasai dalam jangka masa panjang.
Secara keseluruhan, Yamaha Ego Gear Pro bukanlah skuter tentang prestasi atau gaya semata-mata. Sebaliknya, ia dibina untuk menjadi skuter harian yang benar-benar praktikal untuk rakyat Malaysia.
Bagi mereka yang mencari motosikal ringkas, mudah digunakan dan tidak membebankan dari segi kos, Ego Gear Pro adalah antara pilihan yang memang “kena”.
Walaupun berada dalam segmen 250cc, Honda CBR250RR tampil sebagai salah satu model paling lengkap dan berprestasi dalam kelasnya.
Dibangunkan dengan fokus terhadap prestasi, ketangkasan dan teknologi, jentera dua silinder ini bukan sekadar motosikal untuk “beginner” ia juga sebuah motosikal yang sesuai untuk penunggang berpengalaman yang mencari pakej sportbike berskala kecil.
Ujian kali ini melibatkan laluan Shah Alam – Banting – Morib – Sepang – KLIA- Saujana Putra – Banting, merentasi lebuh raya KESAS, WCE,ELITE, SKVE dan jalan pesisir yang beralun.
Pemilihan laluan ini bertujuan menilai kestabilan, respon suspensi, karakter enjin, serta keselesaan tunggangan dalam pelbagai kondisi — dari kelajuan tinggi dan jalan beralun
Walaupun menawarkan ergonomik sportbike, riding triangle CBR250RR cukup ergonomik untuk penunggang berbadan besar.
Dengan berat penunggang sekitar 125kg, posisi menunggang kekal neutral – tidak terlalu menunduk, tetapi cukup agresif untuk kawalan optimum.
Ketinggian tempat duduk 790mm dan tangki yang direka dengan rekaan ergonomik memberi sokongan baik untuk jarak jauh.
CBR250RR dijana oleh enjin 249.7cc DOHC Parallel-Twin, penyejukan cecair, dengan teknologi Throttle-by-Wire yang membolehkan tiga mod tunggangan: Comfort, Sport, dan Sport+.
Dalam mod Comfort, penyaluran kuasa lembut dan progresif.
Mod Sport memberi sedikit lebih punch di RPM pertengahan, manakala Sport+ mengaktifkan sepenuhnya kuasa dan respon enjin, menghasilkan pengalaman tunggangan paling agresif.
Apa yang ketara, transisi antara mod adalah pantas dan terasa, bukan sekadar gimmick.
Dalam mod Sport+, penunggang dapat menikmati respons throttle yang tajam dan RPM yang naik dengan lebih pantas.
Dengan berat penunggang 128kg, top speed yang berjaya dicapai ialah 170 km/j dalam keadaan angin neutral dan jalan rata.
Ini menunjukkan kecekapan enjin dua silinder yang mampu memberikan kuasa konsisten walaupun di RPM tinggi.
Penunggang dengan berat lebih ringan berpotensi mencecah angka lebih tinggi membuktikan CBR250RR bukan sekadar gaya, tetapi hadir dengan prestasi yang padu.
Sistem suspensi depan USD Showa SFF-BP dan lengan ayun aluminium belakang digabungkan dengan kerangka keluli diamond-type yang ringan dan rigid.
Tindak balas suspensi sangat responsif, terutama ketika mengambil selekoh di kawasan beralun antara laluan Morib sehingga ke Bagan Lalang melalui jalan pesisir pantai, membuktikan set up dari kilang sudah cukup sempurna.
Dengan pakej lengkap dari segi enjin, casis, aerodinamik dan teknologi, CBR250RR adalah benchmark dalam kategori sportbike dua silinder 250cc.
Ia memberikan pengalaman menunggang hampir setanding dengan model middleweight, menjadikannya pilihan ideal untuk penunggang yang inginkan pakej lengkap di antara keselesaan dan kuasa.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
“Handsome wei kereta ni!”, “Lawa dohh!”, “Uish, cantik warna dia!” dan “Perghh, GR Corolla kan?!”
Itulah antara reaksi spontan yang keluar daripada mulut sahabat-sahabat penulis ketika pertama kali melihat Toyota GR Corolla ini secara langsung. Belum sempat kereta ini dipandu, imejnya yang dimuat naik di laman media sosial Roda Panas sudah menerima pelbagai pujian. Malah, ada juga yang mahu menetapkan appointment dengan penulis semata-mata untuk melihatnya dari dekat.
Dalam satu ayat, pengalaman pertama melihat Toyota GR Corolla ini boleh digambarkan sebagai jatuh cinta pandang pertama.
Hampir semua yang melihat kereta ini memberikan reaksi positif. Ada yang berpendapat Toyota GR Corolla sudah tampil cukup lengkap dan tidak perlu dimodifikasi lagi. Ada juga yang mengatakan ia sesuai untuk golongan ‘abah-abah’ yang memerlukan sebuah kereta untuk keluarga, tetapi pada masa sama masih mahu menikmati prestasi sebuah kereta sukan.
Tidak kurang juga sahabat penulis yang berkemampuan dan menyatakan hasrat untuk menjadikannya sebagai kereta harian. Persoalannya, adakah sebuah jentera berprestasi seperti Toyota GR Corolla benar-benar sesuai digunakan setiap hari?
Itulah yang ingin penulis rasai sendiri sepanjang sesi pandu uji kali ini.
Seawal jam 10 pagi, penulis tiba di ibu pejabat UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. di Seksyen 15, Shah Alam untuk mengambil Toyota GR Corolla ini.
Ribuan terima kasih diucapkan kepada Zoe Seng daripada Rantau PR dan Cik Hanis daripada Toyota yang membantu menguruskan proses sesi pandu uji ini.
Pada awalnya, penulis agak risau mengenai tahap keselesaan kabin disebabkan saiz fizikal penulis yang agak besar. Melihat rekaan tempat duduknya yang seakan-akan kerusi bucket dari luar membuatkan penulis terfikir sama ada ruangnya terlalu sempit atau kurang selesa untuk perjalanan jauh.
Namun, tanggapan itu berubah sebaik sahaja penulis duduk di dalamnya. Posisi pemanduan masih boleh disesuaikan dengan baik dan kerusi semi-bucket Brin Naub yang digunakan memberikan sokongan badan yang cukup selesa.
Bagi individu berbadan besar seperti penulis, perkara itu sememangnya memberikan sedikit kelegaan.
Keterujaan mula bertambah sebaik sahaja enjin dihidupkan. Bunyi deruman yang terhasil cukup untuk memberikan gambaran bahawa ini bukan Corolla biasa.
Toyota GR Corolla ini dikuasakan oleh enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga silinder turbo yang menghasilkan kuasa 300 PS pada 6,500 rpm serta tork maksimum 400 Nm antara 3,000 hingga 5,550 rpm.
Kuasa tersebut disalurkan kepada keempat-empat roda menerusi sistem pacuan semua roda GR-FOUR. Pembeli diberikan pilihan antara transmisi manual pintar enam kelajuan iMT atau transmisi automatik lapan kelajuan GR-DAT.
Kedua-dua varian mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 5.3 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 230 km/j. Bagi memastikan prestasi enjin berada pada tahap terbaik, penggunaan petrol minimum RON97 disyorkan.
Sebelum memulakan perjalanan, seperti biasa penulis mengambil sedikit masa untuk menelaah paparan meter dan sistem infotainmen yang disediakan.
Toyota GR Corolla hadir dengan meter digital bersaiz 12.3 inci, paparan head-up, skrin audio 10 inci serta sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.
Susun atur paparan cukup mudah difahami dan tidak mengambil masa lama untuk dibiasakan. Maklumat penting berkaitan pemanduan juga dapat dilihat dengan jelas tanpa terlalu mengganggu fokus pemandu.
Keluar sahaja dari ibu pejabat UMW Toyota Motor di Seksyen 15, penulis terus memasuki Lebuhraya Persekutuan untuk merasai sendiri pengalaman mengharungi kesesakan menggunakan kereta berprestasi dengan transmisi manual ini.
Secara jujurnya, pengalaman memandu GR Corolla dalam trafik tidaklah seteruk yang dibayangkan. Pergerakan klacnya agak lembut, penukaran gear lancar dan posisi pemanduan juga selesa.
Walaupun ia sebuah kereta berprestasi tinggi, Toyota masih mengekalkan tahap keselesaan yang munasabah untuk kegunaan harian. Bagi individu berbadan besar seperti penulis, ruang dan posisi pemanduannya masih boleh diterima dengan baik.
Bagi varian automatik GR-DAT pula, GR Corolla 2026 menawarkan mod manual dengan susunan tuil gaya sequential. Tuil perlu ditolak ke hadapan untuk menurunkan gear dan ditarik ke belakang untuk menaikkan gear, sama seperti susunan yang sering digunakan dalam jentera perlumbaan.
Salah satu komponen penting yang membentuk karakter GR Corolla ialah sistem pacuan semua roda GR-FOUR.
Sistem tersebut hadir dengan tiga tetapan utama. Mod Normal menggunakan agihan kuasa 60:40 untuk pemanduan harian, manakala mod Gravel menawarkan agihan 50:50 bagi permukaan yang mempunyai tahap cengkaman lebih rendah.
Mod Track pula mampu mengubah agihan tork secara aktif antara 60:40 hingga 30:70, bergantung kepada input pemandu serta keadaan semasa kenderaan.
Keupayaan pengendaliannya turut diperkukuh menerusi penggunaan Torsen LSD pada gandar hadapan dan belakang. Sistem suspensinya pula menggunakan topang MacPherson di hadapan serta konfigurasi double wishbone di belakang yang menerima talaan khusus daripada bahagian GR.
Gabungan tersebut membantu meningkatkan kestabilan, kawalan serta keyakinan ketika kereta melalui selekoh.
Berbanding model 2023, Toyota GR Corolla 2026 bukan sahaja menerima pilihan transmisi automatik, malah turut hadir dengan beberapa peningkatan penting.
Tork enjinnya meningkat daripada 370 Nm kepada 400 Nm, manakala kuasa maksimum kekal pada 300 PS.
Bahagian hadapan turut direka semula dengan penggunaan gril Matrix v2 bagi membantu meningkatkan aspek aerodinamik dan penyejukan. Ia turut disokong oleh penambahbaikan pada sub-radiator, sistem aliran udara serta kipas penyejuk.
Seiring peningkatan tersebut, harga varian manual turut meningkat daripada RM355,000 kepada RM368,950.
Destinasi penulis pada hari tersebut ialah Banting, Selangor menerusi laluan yang biasa digunakan setiap hari untuk ke tempat kerja.
Bagaimanapun, laluan perjalanan dilencongkan sedikit melalui Lebuhraya Persekutuan kerana Lebuhraya KESAS tidak begitu sesak ketika sesi pandu uji berlangsung.
Sebaik tiba di plaza tol, penulis mengambil peluang untuk merasai sendiri tindak balas dan penghantaran tork yang ditawarkan oleh enjin tiga silinder turbo ini.
Memang mengujakan.
Kuasa disampaikan dengan pantas, pertukaran gear terasa lancar dan setiap tekanan pada pedal pendikit membuatkan kereta ini terasa cukup hidup. Walaupun hanya dinikmati dalam tempoh singkat, karakter prestasinya mudah membuatkan pemandu mahu terus berada di belakang stereng.
Sepanjang perjalanan, ruang kabin GR Corolla boleh dianggap agak senyap. Namun, terdapat sedikit bunyi daripada tayar yang masuk ke dalam kabin.
Perkara itu masih boleh diterima kerana tayar yang digunakan lebih menjurus kepada pemanduan berprestasi tinggi.
GR Corolla dipadankan dengan rim Enkei bersaiz 18 inci dan tayar Yokohama Advan Apex V601 berukuran 235/40R18.
Sistem breknya pula menggunakan cakera berliang dan beralur bersama angkup monoblok empat piston di hadapan serta dua piston di belakang. Gabungan tersebut memberikan tahap keyakinan yang lebih baik, terutama ketika mengawal sebuah jentera dengan prestasi seperti ini.
Setibanya di Banting, penulis singgah sebentar di sebuah masjid sekitar Kampung Bandar untuk menunaikan solat Jumaat.
Pada awalnya, timbul juga sedikit kebimbangan untuk meletakkan kereta ini di ruang parkir biasa. Dari sudut fizikal, GR Corolla kelihatan agak lebar, terutama dengan rekaan badan lebar pada bahagian belakang.
Namun, selepas mencubanya sendiri, saiz tersebut tidak terlalu menyukarkan proses parkir. Ruang parkir biasa masih praktikal untuk digunakan dan dimensi kereta ini mudah dijangka dari tempat duduk pemandu.
Selesai menunaikan solat, perjalanan diteruskan melalui beberapa jalan kampung sekitar Banting untuk merasai sendiri tindak balas sistem suspensinya di atas permukaan jalan yang kurang rata.
Tidak dinafikan, talaan suspensinya terasa sedikit keras. Namun, perlu difahami bahawa GR Corolla merupakan sebuah kereta berprestasi yang memerlukan talaan suspensi sesuai untuk kestabilan dan kawalan pada kelajuan tinggi.
Bagi penulis, tahap kekerasan tersebut bukanlah masalah besar. Unsur keselesaan masih wujud dan kereta ini masih selesa digunakan di atas jalan biasa.
Selepas selesai melalui laluan kampung, penulis meneruskan perjalanan kembali ke pejabat untuk merekodkan semua maklumat yang diperoleh sepanjang sesi pandu uji.
Dalam perjalanan pulang, penulis sempat merasai sendiri penghantaran kuasa GR Corolla pada kelajuan yang sedikit lebih tinggi, namun masih dalam lingkungan had kelajuan kebangsaan.
Tekanan pada pedal pendikit terus disambut dengan kuasa yang pantas. Daya G yang terhasil dapat dirasai dengan jelas, manakala kawalan badan kekal stabil dan meyakinkan.
Suspensi talaan GR dengan topang MacPherson di hadapan, double wishbone di belakang serta Torsen LSD pada kedua-dua gandar memainkan peranan penting dalam memastikan kereta kekal seimbang, khususnya ketika melalui selekoh.
Selain prestasi enjin dan pengendalian, sistem penyejukan GR Corolla turut menerima beberapa peningkatan.
Kipas penyejuk berprestasi tinggi digunakan untuk mengoptimumkan aliran udara dan memastikan suhu enjin kekal terkawal, termasuk ketika kereta dipandu secara agresif.
Varian automatik turut dilengkapi penyejuk minyak transmisi ATF yang menggunakan gabungan sistem berasaskan air dan udara untuk mengekalkan suhu transmisi pada tahap optimum.
Rekaan fender hadapan yang lebih lebar bukan sahaja memberikan penampilan lebih berotot, malah membantu menguruskan aliran udara bagi meningkatkan kestabilan serta kawalan.
Pada bahagian hadapan, gril Matrix v2 bersama sub-radiator yang ditambah baik membantu mengurangkan rintangan udara. Udara turut disalurkan dengan lebih terus bagi meningkatkan kecekapan penyejukan dan memastikan suhu enjin kekal optimum.
Satu lagi elemen yang mudah menarik perhatian ialah sistem ekzos tiga muncung yang menjadi identiti utama GR Corolla.
Konfigurasi tersebut bukan sekadar untuk penampilan. Ia membantu menyokong output enjin yang lebih tinggi, selain menghasilkan bunyi ekzos yang lebih garang.
Sistem ini dilengkapi injap dan aktuator ekzos yang akan terbuka bagi mengurangkan tekanan balik ketika enjin menghasilkan kuasa tinggi. Pada putaran enjin lebih rendah, sistem tersebut turut membantu menghasilkan karakter bunyi yang lebih jelas dan mengujakan.
Begitulah pengalaman sehari bersama Toyota GR Corolla. Rasa keterujaannya masih kekal walaupun selepas kereta dipulangkan.
Ia mempunyai rupa yang menarik perhatian, prestasi yang mengujakan serta karakter pemanduan yang membuatkan pemandu mahu terus berada di belakang stereng. Pada masa sama, Toyota GR Corolla masih menawarkan keselesaan dan praktikaliti yang membolehkannya digunakan sebagai sebuah kereta harian.
Untuk pasaran Malaysia, Toyota GR Corolla 1.6 M/T ditawarkan pada harga RM368,950, manakala varian 1.6 A/T pula berharga RM378,950.
Perbezaan harga antara kedua-dua varian ialah RM10,000. Pembeli boleh memilih sama ada mahu mengekalkan pengalaman pemanduan manual sepenuhnya atau mendapatkan kemudahan transmisi automatik lapan kelajuan GR-DAT.
Menyusuri jalan balik kampung dengan gaya, keselesaan, dan keselamatan yang terjamin apabila anda merancang dengan teliti.
Seiring dengan kemeriahan musim perayaan Aidilfitri yang semakin hampir, ramai keluarga di seluruh Malaysia turut bersiap sedia untuk menempuh perjalanan balik kampung tahunan.
Namun, di sebalik keterujaan itu, adalah penting untuk memastikan persediaan yang teliti terutamanya berkaitan dengan kenderaan anda, terutama jika perlu menempuh perjalanan yang jauh.
Sama ada anda memandu kenderaan elektrik atau petrol, pastikan kenderaan anda dalam keadaan terbaik untuk perjalanan yang tenang, lancar, dan selamat dengan 3 petua yang disediakan oleh Cycle & Carriage.
Petua #1: Periksa Tahap Kesihatan Kenderaan dengan Teliti
Sebelum memulakan perjalanan anda, lakukan pemeriksaan penyelenggaraan menyeluruh pada kenderaan anda. Bagi pemilik kenderaan enjin pembakaran dalam (ICE), pastikan cecair penting seperti penyejuk radiator, minyak enjin, dan minyak brek diisi sehingga paras yang disyorkan untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini di jalan raya.
Pemilik kenderaan elektrik (EV) pula perlu memeriksa paras cecair brek, penyejuk bateri, dan cecair pencuci cermin hadapan untuk memastikan prestasi optimal pada cuaca panas atau hujan.
Pastikan keadaan tayar yang optimum dan berkualiti untuk menempuh perjalanan jauh dan lama. Beri perhatian kepada keadaan permukaan tayar untuk pastikan mereka tidak haus. Bagi pemilik EV, perlu diingatkan bahawa tayar mungkin akan haus lebih cepat disebabkan oleh berat kereta.
Jika masa anda terhad sebelum perjalanan balik kampung, serahkan pemeriksaan dan penyelenggaraan kenderaan anda kepada profesional di Cycle & Carriage. Periksa tarikh servis seterusnya bagi kedua-dua kenderaan ICE dan EV untuk memastikan anda sentiasa berada di atas keadaan.
Petua #2: Persiapkan Kenderaan untuk Cuaca Panas dan Kesesakan Lalu Lintas
Mengambil kira cuaca tropika Malaysia dan kesesakan lalu lintas semasa musim perayaan, adalah penting bagi pemilik kenderaan ICE untuk memastikan sistem penyejuk udara mereka berfungsi dengan baik, terutamanya ketika terperangkap dalam lalu lintas perlahan.
Rancang perjalanan anda untuk mengelakkan trafik sesak dengan memilih waktu perjalanan awal pagi atau lewat malam. Jika penyejuk udara tidak berfungsi dengan baik, dapatkan perkhidmatan penyelenggaraan penyejukan udara di Cycle & Carriage untuk udara yang sejuk dan segar untuk keseluruhan keluarga.
Bagi pemandu EV, hilangkan kebimbangan tentang jarak dengan merancang laluan anda dengan teliti, memastikan stesen pengecas ditempatkan dengan strategik sepanjang perjalanan anda.
Jika kampung halaman anda terletak agak jauh dari stesen pengecas, pertimbangkan untuk melabur dalam pengecas mudah alih seperti Juice Booster 2, yang membolehkan anda mengisi bateri di mana-mana, pada bila-bila masa.
Petua #3: Manfaatkan Teknologi untuk Perjalanan yang Lancar
Gunakan teknologi untuk menyempurnakan pengalaman perjalanan anda. Bagi pemilik kenderaan ICE, rancang perjalanan anda dengan mencari tempat rehat untuk mengisi bahan bakar dan elakkan tempat rehat yang sesak.
Bagi pemilik EV, muat turun aplikasi seperti Setel, JomCharge, ChargeEV, dan ParkEasy untuk akses yang mudah kepada pengecas dan pilihan pengecasan yang berpatutan.
Thunder Motorcycles Rasmi Masuk Malaysia, Tampilkan LS250-S di AOS 2026
Thunder Motorcycles secara rasmi memasuki pasaran Malaysia menerusi penampilan sulungnya di Art of Speed 2026...