Malaysia kini berada di ambang perubahan besar dalam dunia pengangkutan. Kerajaan sedang mempertimbang pindaan undang-undang untuk menyokong perkembangan kenderaan pandu sendiri atau autonomous vehicles (AV).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menyatakan bahawa kementeriannya bersedia menerima teknologi baharu ini sebagai sebahagian daripada arus perkembangan global.
Menurut Loke, walaupun penggunaan kenderaan pandu sendiri belum menjadi kebiasaan, langkah-langkah awal perlu diambil untuk melihat masa depan teknologi ini.
“Mungkin sekarang ia belum menjadi arus perdana, tetapi dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang, kebanyakan sistem pengangkutan awam kita mungkin tidak lagi memerlukan pemandu manusia. Mereka boleh menjadi kenderaan autonomi. Sekarang, kebanyakannya masih memerlukan pemandu,” katanya.
Kredit Gambar – PaulTan.org
Digitalisasi Kenderaan
Kerajaan sedang menilai sejauh mana teknologi ini boleh diimplementasikan dan bersedia membuat pindaan undang-undang untuk menyokong digitalisasi kenderaan.
Walau bagaimanapun, Loke menekankan bahawa tiada garis masa yang ditetapkan buat masa ini, kerana konsep perintis (POC) untuk bas pandu sendiri masih dalam peringkat ujian.
Loke juga menyatakan bahawa pihak yang diberi kuasa untuk menjalankan POC boleh memberi pandangan mengenai bentuk pelawaan atau langkah yang diperlukan untuk memajukan teknologi ini.
Ads
“Di Kementerian Pengangkutan, kami bersedia untuk membantu. Saya percaya perkara ini perlu diteliti melalui contoh-contoh dari negara lain yang sudah mempunyai rangka kerja undang-undang. Sehingga kini, Malaysia masih belum mempunyai rangka kerja undang-undang untuk kenderaan autonomi, jadi kita perlu melihat contoh dari luar negara sebagai rujukan,” jelasnya.
Kredit Gambar – PaulTan.org
Sokongan Kerajaan
Beliau menambah bahawa kementerian bersedia untuk mempermudah pembangunan AVs dan bergerak seiring dengan usaha pengkomersialan.
Menurutnya, adalah penting untuk mempunyai rangka kerja undang-undang yang praktikal, bukan sekadar teori tanpa aplikasi sebenar.
Autonomous Vehicle Demonstration
Demonstrasi yang diadakan oleh eMoovit Technology Sdn Bhd memperlihat pelbagai aplikasi berasaskan 5G yang bertujuan meningkatkan pengalaman pengguna dan keselamatan pada bas elektrik pandu sendiri.
Ads
Demonstrasi ini merupakan sebahagian daripada kolaborasi yang terjalin melalui memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada Mei 2024 antara Digital Nasional Bhd, Ericsson, dan eMoovit.
Dalam demonstrasi tersebut, aplikasi seperti sambungan Wi-Fi dalam kenderaan, pemantauan jarak jauh secara masa nyata, dan pengumpulan log perjalanan diperkenalkan.
Kredit Gambar – PaulTan.org
Ujian Perkhidmatan Fasa 1
Ketua Pegawai Eksekutif eMoovit, Dr. Hairi Zamzuri, mengumumkan bahawa syarikat tersebut akan menjalankan ujian perkhidmatan penumpang untuk bas pandu sendiri 5G di Putrajaya pada suku keempat tahun ini, dengan operasi dijangka bermula dalam tempoh tiga bulan.
Dr. Hairi turut menekankan kepentingan membina hubungan rapat dengan masyarakat dalam memperkenalkan teknologi baharu ini. Dengan mengumpul maklum balas daripada orang awam sebagai salah satu cara untuk meningkatkan kesedaran awam.
Ads
Dengan langkah-langkah yang diambil ini, Malaysia bersedia untuk memacu ke arah masa depan pengangkutan yang lebih pintar dan selamat.
Kerjasama Strategik Pacu Pengurusan Sisa Automotif Lestari
Sime Motors, peneraju industri automotif di Asia Pasifik, hari ini melancarkan program kitar semula tayar “Zero Waste”*, yang pertama seumpamanya di Malaysia.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen syarikat terhadap pemeliharaan alam sekitar dan kelestarian industri automotif.
Program Pertama oleh Kumpulan Pengedar Automotif Tempatan
Dengan kerjasama Evergreen Corporate Sdn. Bhd., program ini akan dilaksanakan di semua pengedar Sime Motors di Semenanjung Malaysia bermula 1 Julai 2025.
Ia merupakan program berstruktur pertama yang diperkenalkan oleh kumpulan pengedar automotif tempatan.
Program ini memfokuskan kepada pemprosesan tayar tamat hayat melalui sistem kitar semula tertutup dan bebas sisa*.
Program ini dirangka selaras dengan definisi “zero waste” yang ditetapkan oleh Zero Waste International Alliance (ZWIA), iaitu usaha mengelakkan pelupusan sisa ke tapak pelupusan atau pembakaran, dan sebaliknya mengembalikan semua bahan buangan ke dalam kitaran ekonomi secara lestari.
Komitmen Sime Motors Terhadap Kelestarian
“Program ini mencerminkan komitmen kami terhadap kelestarian dan inovasi dalam pengurusan sisa,” ujar Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Asia Tenggara Sime Motors. “Dengan keupayaan teknologi milik Evergreen Corporate, kami bangga menjadi peneraju dalam inisiatif kitar semula tayar tanpa sisa dalam industri ini.”
Sokongan Kepada Semua Jenama Di Bawah Sime Motors
Tayar-tayar terpakai yang dikumpul dari pusat servis Sime Motors yang mengendalikan jenama seperti BMW, MINI, Ford, Hyundai, Jaguar Land Rover, Volvo, BYD, Denza, Drivecare dan Auto Selection akan dihantar ke kemudahan milik Evergreen Corporate untuk diproses secara mesra alam.
Teknologi Kitar Semula Hijau yang Canggih
Kemudahan ini menggunakan Teknologi Pemulihan Terma Lanjutan (Advanced Thermal Recovery Green Technology) yang membolehkan 100% pemulihan bahan dengan pelepasan gas berbahaya yang minimum.
Proses ini menghasilkan bahan industri boleh guna semula seperti karbon hitam, minyak bahan api dan keluli kitar semula.
Pengiktirafan ESG dan Kepimpinan Industri
Evergreen Corporate turut menerima pengiktirafan ESG Gold oleh Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC) atas usaha mereka dalam pengurusan sisa yang mampan dan beretika.
Perkongsian Strategik ke Arah Ekonomi Hijau
“Kerjasama ini satu detik penting buat Evergreen dan masa depan teknologi hijau Malaysia,” kata Wan Afif Azizul, Ketua Pegawai Eksekutif Evergreen Corporate.
“Kami sentiasa berinovasi dalam teknologi kitar semula tayar, dan kerjasama dengan Sime Motors memperkukuh lagi usaha kami untuk menjadikan ekonomi hijau satu realiti,” tambah Kwang Meng Kian, Pengasas Bersama Evergreen Corporate. “Penyelesaian ini bukan sahaja menangani isu pelupusan tayar, tetapi melakukannya dengan cara yang bersih, berskala dan bersedia untuk masa depan.”
Sejajar Piawaian Alam Sekitar Nasional
Program ini diselaraskan dengan piawaian Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan menyokong matlamat negara dalam aspek ESG dan kelestarian.
Sime Motors menegaskan tanggungjawab sosial mereka dalam mengurangkan impak alam sekitar secara berkesan dan memberi manfaat kepada pelanggan serta komuniti.
Pelanggan Turut Menyumbang Kepada Masa Depan Lestari
Dengan program ini, pelanggan Sime Motors kini boleh yakin bahawa tayar terpakai mereka diuruskan dengan cara yang mesra alam.
Setiap servis atau pembelian kenderaan bukan sahaja menjanjikan kualiti, malah turut menjadi pelaburan kepada alam sekitar dan masa depan generasi akan datang.
* Selaras dengan definisi “zero waste” oleh Zero Waste International Alliance (ZWIA), ia merujuk kepada usaha mengekalkan semua sumber melalui penghasilan, penggunaan dan pemulihan yang bertanggungjawab, tanpa melupuskannya ke dalam tanah, air atau udara yang boleh mencemarkan alam sekitar atau mengancam kesihatan manusia.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Triumph Tiger Sport 660 terus mencuri perhatian meskipun Triumph telah melancarkan model yang lebih besar, Tiger Sport 800. Untuk tahun 2025, motosikal adventure kelas pertengahan ini menerima beberapa peningkatan menarik. Terutamanya dari segi teknologi dan kelengkapan, menjadikannya pilihan yang lebih versatile bagi penunggang.
Teknologi Baharu untuk Pengalaman Lebih Pintar
Peningkatan utama pada Tiger Sport 660 ialah sistem sambungan telefon pintar. Kini membolehkan navigasi dipaparkan secara terus pada skrin. Bukan itu sahaja, model ini juga dilengkapi dengan ciri cruise control untuk keselesaan semasa perjalanan jauh, dan quickshifter dua hala yang membolehkan pertukaran gear lebih lancar, baik semasa menaikkan atau menurunkan gear.
Selain dua mod tunggangan asal, iaitu Road dan Rain, Triumph turut memperkenalkan mod Sport, memberikan respons enjin yang lebih agresif untuk pengalaman tunggangan yang menyeronokkan.
Tidak ketinggalan, ciri keselamatan seperti Optimised Cornering ABS dan kawalan cengkaman kini menjadi standard. Fungsi kawalan cengkaman boleh ditutup mengikut keperluan penunggang.
Triumph Tiger Sport 660
Prestasi Tetap Berkuasa
Dari segi prestasi, Tiger Sport 660 masih menggunakan enjin tiga silinder DOHC berkapasiti sederhana dengan transmisi enam kelajuan dan klac slip and assist. Enjin ini menghasilkan kuasa maksimum 81 PS pada 10,250 rpm dan 64 Nm tork pada 6,250 rpm. Cukup untuk memberikan keseimbangan antara prestasi dan kecekapan bahan api.
Ciri-Ciri Rekaan yang Praktikal
Tiger Sport 660 direka untuk pelbagai kegunaan, sama ada untuk perjalanan jauh atau tunggangan harian. Ia dilengkapi dengan penghadang angin hadapan yang boleh dilaras secara manual dan tangki bahan api berkapasiti 17.2 liter. Membolehkan perjalanan lebih jauh tanpa perlu kerap mengisi minyak.
Suspensi Showa pula terdiri daripada fork USD 41 mm di hadapan dan monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang. Memberikan keselesaan walaupun pada permukaan jalan yang tidak rata.
Triumph Tiger Sport 660
Sebagai motosikal yang lebih fokus kepada jalan raya, ia dipasang dengan rim aluminium 17 inci dan sistem brek cakera berkembar 310 mm di hadapan serta cakera 255 mm di belakang.
Reka Bentuk Kompak dan Ringkas
Keseluruhan rekaan Tiger Sport 660 mengekalkan identiti sporty dan praktikal. Semua lampu kini menggunakan teknologi LED. Berat keseluruhan motosikal ini adalah 207 kg dengan ketinggian tempat duduk 835 mm. Sesuai untuk pelbagai ketinggian penunggang.
Dengan peningkatan ini, Triumph Tiger Sport 660 terus menawarkan keseimbangan yang sempurna antara teknologi, prestasi, dan keselesaan. Untuk penunggang yang mencari motosikal adventure dengan keupayaan serba boleh, model ini kekal sebagai pilihan unggul.
Kove, jenama motosikal yang semakin dikenali dari China, telah memperkenalkan model terbaru mereka dalam kategori motosikal supersport 250cc iaitu Kove 250RR.
Model ini bukan sahaja menawarkan reka bentuk yang agresif dan moden, tetapi juga prestasi yang mengagumkan.
Reka Bentuk dan Ciri-ciri Utama
Kove 250RR hadir dengan reka bentuk yang sangat aerodinamik dan menarik perhatian.
Dilengkapi dengan fairing tajam, lampu depan LED yang futuristik, dan garis-garis agresif yang memberi DNA perlumbaan.
Ia juga menawarkan ketinggian tempat duduk 780mm, memberikan posisi menunggang yang lebih selesa dan ergonomik untuk pelbagai jenis penunggang.
Enjin twin-silinder 249.98cc yang digunakan oleh Kove 250RR menjanjikan prestasi yang sangat baik.
Dengan kuasa maksimum 32.18 bhp pada 11,500 rpm dan tork 22.5 Nm pada 9,000 rpm, model ini mampu mencapai kelajuan maksimum sekitar 160 km/j.
Ia dilengkapi dengan sistem brek ABS dan cakera depan 320mm serta belakang 220mm, memastikan keselamatan yang tinggi semasa pemanduan.
Suspensi depan terbalik (USD) dan monoshock belakang memberikan kawalan yang lebih baik dan keselesaan tambahan di atas jalan raya.
Kredit Foto : Facebook KOVE
Prestasi dan Pengendalian
Dari segi prestasi, Kove 250RR menunjukkan kemampuannya untuk bersaing dengan model-model lain dalam kategori yang sama seperti Yamaha YZF-R25 dan Honda CBR 250 RR.
Motosikal ini bukan sahaja menawarkan kuasa yang mencukupi untuk pemanduan harian, tetapi juga mampu memberikan sensasi menunggang yang menyeronokkan di litar.
Rangka yang ringan dan ketat membolehkan pengendalian yang lebih stabil, terutamanya dalam selekoh-selekoh tajam.
Ketersediaan dan Harga
Walaupun Kove 250RR belum dilancarkan secara rasmi di Malaysia, ia mendapat sambutan yang cukup baik di beberapa negara lain.
Antaranya adalah negara Bangladesh dengan harga sekitar 359,990 BDT.
Harga yang kompetitif ini menjadikannya pilihan yang menarik bagi mereka yang mencari motosikal supersport dengan prestasi tinggi.
Kredit Foto : Facebook KOVE
Konklusi
Kove 250RR adalah pilihan yang sangat baik bagi mereka yang mencari motosikal supersport 250cc.
Dengan spesifikasi dan reka bentuk yang menarik, Kove 250RR mampu bersaing dengan model-model terkenal dalam kelas yang sama.
Jika jenama Kove dapat membina rangkaian servis yang kukuh, model ini berpotensi menjadi salah satu motosikal pilihan utama di pasaran global.
YZR-M1 V4 Muncul Buat Kali Pertama di San Marino GP
Yamaha Motor Co., Ltd. melakar sejarah baharu apabila memperkenalkan jentera prototaip YZR-M1 dengan enjin V4...