Grand Prix Bahrain 2025 menyaksikan satu lagi nama naik ke pentas tertinggi—Oscar Piastri, yang kini muncul sebagai pelumba pertama dengan dua kemenangan musim ini!
Di perlumbaan F1 ke-50 dalam kariernya, Piastri bukan sahaja mencipta sejarah peribadi. Malah membawa pulang kemenangan pertama McLaren di Sakhir. Dan gaya dia menang memang aksi kelas dunia.
Dari petak utama, Piastri terus meluru ke hadapan, walaupun George Russell dari Mercedes hampir mencuri peluang apabila hampir terbabas di Turn 1 akibat brek terlalu lewat. Tapi Piastri kekal tenang. Kawal jentera seperti seorang veteran, dan mula bina jurang yang selesa seawal beberapa fasa pertama.
Rakan Sepasukan McLaren
Sementara itu, rakan sepasukan Lando Norris pula berdepan kesulitan awal – dikenakan penalti lima saat kerana salah posisi di petak permulaan. Tapi seperti yang kita dah lihat sebelum ni, McLaren musim ni bukan main-main. Norris tetap memecut ke depan dan mula mendekati kelompok hadapan dengan penuh bergaya.
Satu-satunya saat yang mungkin buat peminat McLaren berdebar ialah apabila Safety Car masuk ke trek. Tapi Piastri tetap tenang. Selepas restart, dia terus tinggalkan pesaingnya, malah menamatkan perlumbaan dengan kelebihan lebih 15 saat! Satu kemenangan yang bukan sekadar pantas, tapi penuh gaya dan ketenangan.
Pemandu Mercedes
George Russell akhirnya mengekalkan kedudukan kedua walaupun diasak hebat oleh Norris di akhir perlumbaan. Namun, Russell masih dalam siasatan pasca perlumbaan kerana kemungkinan pelanggaran peraturan DRS – jadi keputusan rasmi mungkin berubah. Norris pula hanya 0.774 saat di belakang, satu pemulihan yang hebat selepas kelayakan yang agak hambar.
Kereta #16
Charles Leclerc dari Ferrari terpaksa berpuas hati di tempat keempat, walaupun sempat bertarung sengit dengan Norris untuk tempat ketiga. Di belakangnya, Lewis Hamilton pula menamatkan perlumbaan di tempat kelima, menambah mata penting buat Ferrari.
Max Verstappen hanya mampu cuit tempat keenam selepas malam yang cukup mencabar untuk Red Bull, dengan dua pit stop yang bermasalah. Pierre Gasly pula beri berita gembira buat Alpine dengan mata pertama mereka musim ini di tempat ketujuh.
Grid Belakang
Diikuti Esteban Ocon di tempat kelapan dengan strategi pit awal yang bijak. Yuki Tsunoda (Red Bull) dan Ollie Bearman (Haas) melengkapkan 10 terbaik.
Beberapa pelumba lain juga ada cerita tersendiri. Kimi Antonelli hampir dapat mata sulung musim ini, tapi akhirnya ke-11.
Fernando Alonso pula pastinya mahu cepat lupa perlumbaan ini – tersadai di P16 untuk Aston Martin. Carlos Sainz pula satu-satunya pelumba yang gagal menamatkan perlumbaan akibat kerosakan selepas bersentuh dengan Tsunoda.
Oscar Piastri menyimpulkan hari gemilangnya dengan kata-kata penuh rasa syukur:
“Seronok dapat hasil macam ni di Bahrain. Litar ni tak pernah beri tuah pada kami sebelum ni, jadi nak menang di sini. Dengan kereta yang hebat dari pasukan, memang sangat bermakna. Saya bangga dengan apa yang kami capai minggu ni.”
Dari Formula One
Baca Juga Bernie Ecclestone Jual Koleksi Kereta F1 Bernilai $646 Juta Kepada Waris Red Bull
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.