Automotif

8 Tahun “Warranty” & “Unlimited Mileage”, Honda City Baharu Dilancarkan di Malaysia

Share

Honda City Baharu Dilancarkan di Malaysia, Harga Bermula RM89,900

Honda Malaysia secara rasmi melancarkan Honda City baharu untuk pasaran Malaysia dengan penampilan baharu yang lebih sporty, kemaskini daripada segi teknologi serta ciri keselamatan yang lebih menyeluruh.

Masih ditawarkan dalam empat varian, harga Honda City baharu bermula RM89,900 untuk varian E, diikuti V pada RM94,900, Petrol RS RM99,900 dan e:HEV RS pada RM111,900. Semua harga merupakan harga atas jalan tanpa insurans.

Pengenalan model ini meneruskan perjalanan Honda City yang sudah bertapak selama 24 tahun di Malaysia. Sejak diperkenalkan, lebih 536,000 unit City telah dijual di Malaysia.

Malah, varian hibrid City turut memainkan peranan dalam perkembangan teknologi elektrifikasi Honda Malaysia dengan menyumbang kira-kira 22 peratus daripada keseluruhan jualan model hibrid syarikat itu.

Penampilan Honda City Baharu Lebih Sporty

Antara perubahan utama pada Honda City baharu ialah reka bentuk luarannya yang diberikan sentuhan lebih moden dan sporty.

Bahagian hadapan kini menerima gril baharu yang memberikan identiti lebih menyerlah, manakala varian RS tampil dengan rekaan lampu hadapan jenis Long Light Bar.

Semua varian pula dilengkapi lampu utama Bi-LED sebagai kelengkapan standard bagi menawarkan pencahayaan dan jarak penglihatan yang lebih baik ketika pemanduan pada waktu malam.

Rekaan bahagian belakang turut menerima pembaharuan daripada segi bampar dan lampu belakang yang hadir dengan “clear lens”, manakala rim aloi 16 inci Dual-Tone Milling baharu memberikan penampilan keseluruhan yang lebih sporty.

Skrin 10 Inci Jadi Tumpuan di Dalam Kabin

Masuk ke ruang kabin, antara perubahan paling ketara ialah penggunaan sistem Display Audio bersaiz 10 inci yang lebih besar.

Sistem infotainmen baharu itu direka untuk menawarkan dashboard yang lebih mudah digunakan, di samping memenuhi keperluan pengguna yang semakin bergantung kepada sambungan peranti ketika memandu.

Khusus untuk varian e:HEV RS, Honda turut menyediakan pengecas tanpa wayar untuk memudahkan pengecasan telefon pintar anda.

Suasana ruang dalaman turut dipertingkat melalui pencahayaan ambien baharu, selain lampu pada bahagian kaki dan ruang penyimpanan pintu.

Walaupun menerima beberapa peningkatan teknologi, Honda City masih mengekalkan ciri praktikal yang menjadi antara kekuatan utama model berkenaan, termasuk ruang kabin yang luas serta ruang bagasi yang sesuai untuk kegunaan harian mahupun perjalanan jarak jauh.

Honda City Baharu Kekal Dengan Enjin 1.5 Liter Petrol & e:HEV

Dari segi rangkaian kuasa, Honda City baharu masih menawarkan pilihan enjin petrol dan sistem hibrid e:HEV.

Varian petrol dikuasakan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC yang dipadankan dengan transmisi CVT.

Enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 121 PS dan tork 145 Nm, dengan karakter pemanduan yang disasarkan kepada penggunaan harian disamping memberikan keseimbangan antara prestasi dan penggunaan bahan api.

Bagi City e:HEV RS pula, sistem hibrid Honda menawarkan tork maksimum 253 Nm.

Teknologi e:HEV menguruskan operasi enjin petrol dan motor elektrik secara automatik berdasarkan keadaan pemanduan bagi memberikan respons yang lebih lancar serta penggunaan tenaga yang lebih cekap.

Pemilik City e:HEV RS turut menerima jaminan bateri hibrid selama 10 tahun tanpa had perbatuan, tertakluk kepada terma dan syarat Honda Malaysia.

Honda SENSING Standard Semua Varian

Bahagian keselamatan menerima antara peningkatan paling penting pada Honda City baharu.

Honda SENSING kini terus ditawarkan sebagai kelengkapan standard bagi semua varian.

Selain itu, semua varian turut menerima Blind Spot Information System dengan Cross Traffic Monitoring.

Sistem tersebut merangkumi fungsi Blind Spot Detection dan Lane Change Assist yang membantu memberi amaran sekiranya terdapat kenderaan di kawasan titik buta ketika pemandu mahu menukar lorong.

Cross Traffic Monitoring pula membantu mengesan kenderaan yang menghampiri dari sisi ketika kereta sedang mengundur keluar dari petak parkir.

Honda LaneWatch juga kekal ditawarkan sebagai standard pada semua varian.

Bagi varian Petrol RS dan e:HEV RS, Honda turut memperkenalkan sistem kamera 360 darjah Multi-View Camera System.

Sistem itu memberikan pandangan lebih menyeluruh di sekeliling kenderaan, sekali gus membantu ketika melakukan parkir atau bergerak di kawasan sempit.

Harga Honda City Baharu

Honda City baharu ditawarkan dalam empat varian:

– Honda City 1.5L E – RM89,900
– Honda City 1.5L V – RM94,900
– Honda City 1.5L Petrol RS – RM99,900
– Honda City 1.5L e:HEV RS – RM111,900

Harga berkenaan merupakan harga atas jalan tanpa insurans.

Empat pilihan warna turut ditawarkan iaitu Platinum White Pearl, Meteoroid Gray Metallic, Stellar Diamond Pearl dan Blazing Red Pearl.

Bagaimanapun, warna Stellar Diamond Pearl hanya ditawarkan untuk varian petrol, manakala Blazing Red Pearl merupakan warna baharu yang diperkenalkan untuk Honda City kali ini.

Program Khas Sempena 24 Tahun Honda City

Bersempena ulang tahun ke-24 Honda City di Malaysia, Honda Malaysia turut memperkenalkan Special City Reward Programme

.

Program berkenaan menawarkan manfaat eksklusif kepada 2,400 pelanggan pertama yang layak, termasuk pelanggan baharu dan sedia ada Honda, pemilik yang mahu menaik taraf kenderaan serta penjawat awam.

Selain itu, Honda Malaysia kini menawarkan warranty sehingga lapan tahun tanpa had perbatuan bagi semua model petrol dan hibrid baharu yang dibeli mulai 1 September 2026, termasuk Honda City baharu.

Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Narushi Yazaki, perubahan yang dilakukan terhadap City bertujuan memastikan model tersebut terus relevan dengan gaya hidup pengguna bandar yang semakin berkembang.

Beliau turut menegaskan bahawa teknologi e:HEV kekal menjadi sebahagian penting dalam strategi elektrifikasi Honda dengan menawarkan gabungan kecekapan bahan api, praktikaliti serta pengalaman pemanduan yang menyeronokkan.

Dengan kemas kini dari aspek reka bentuk, teknologi dan keselamatan, Honda City baharu tampil sebagai evolusi kepada sedan segmen-B popular itu tanpa meninggalkan formula utama yang selama ini menjadi kekuatannya dalam pasaran Malaysia.

Baca Juga : Apa Maksud Kod EF, EG, EK, FD, FB, FK, FE dan FL Pada Honda Civic?

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Related Post
Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi