
TOYOTA RACING Newsroom
Teknologi yang biasanya digunakan untuk mengejar setiap pecahan saat di litar perlumbaan kini dibawa ke arena berbeza apabila Toyota membantu membangunkan sebuah kerusi roda perlumbaan khas untuk atlet Belanda, Jetze Plat.
Plat dijadualkan menyertai Berlin Marathon pada Ahad, 27 September, berdepan barisan pesaing yang cukup kompetitif. Namun bagi juara Paralimpik, dunia, Eropah dan kebangsaan itu, sasaran utamanya kali ini adalah untuk memberikan prestasi terbaik serta mencatat masa sepantas mungkin.
Menariknya, perlumbaan tersebut bakal menyaksikan Plat menggunakan sebuah racing wheelchair yang dibangunkan khas menerusi kerjasama Toyota Netherlands dan TOYOTA RACING GmbH di Cologne, Jerman.
TOYOTA RACING GmbH bukanlah nama asing dalam dunia perlumbaan. Operasinya banyak tertumpu kepada program FIA World Endurance Championship (WEC), selain memainkan peranan sebagai pembekal enjin bagi TOYOTA GAZOO Racing dalam World Rally Championship (WRC).
Namun sejak 2012, kepakaran kejuruteraan syarikat itu turut digunakan bagi membantu atlet elit yang mempunyai ketidakupayaan fizikal.
Antara peralatan yang pernah dibangunkan termasuk Nordic skiing sled, handbike, kerusi roda perlumbaan serta orthosis sokongan yang disesuaikan mengikut keperluan setiap atlet.
Kerjasama dengan Plat bermula selepas atlet tersebut memilih untuk memberikan fokus sepenuhnya kepada perlumbaan marathon selepas Paralympic Games di Paris.
Menurut Plat, untuk bersaing pada tahap tertinggi dalam disiplin baharunya itu, beliau memerlukan sebuah kerusi roda perlumbaan yang lebih pantas. Toyota Netherlands kemudian membantu menghubungkannya dengan kepakaran jurutera di TOYOTA RACING.
Seperti jentera perlumbaan sebenar, penggunaan material ringan menjadi antara elemen penting pada kerusi roda Plat.
Rangka utamanya menggunakan carbon fibre, namun keutamaan pembangunan bukan sekadar untuk mengurangkan berat atau meningkatkan aerodinamik. Sebaliknya, kestabilan serta kekakuan struktur menjadi antara aspek paling kritikal.
Menurut Plat, setiap tenaga yang dihasilkan perlu dipindahkan terus kepada roda tanpa kehilangan kuasa akibat torsion pada struktur rangka.
Atas sebab itu, jurutera memberikan perhatian kepada frame stiffness, keseimbangan, sistem stereng serta kedudukan badan atlet supaya setiap pergerakan dapat diterjemahkan kepada momentum dengan seefisien mungkin.
Baca Juga: Nissan Rogue Hybrid 2027 Diperkenalkan, Bawa Teknologi e-POWER Generasi Baharu
Pembangunan kerusi roda tersebut diketuai antara lain oleh Para Sports Project Manager TOYOTA RACING GmbH, Norbert Schäfer bersama Senior Composite Design Engineer, Roger Kirschner.
Menurut Schäfer, proses membangunkan racing wheelchair mempunyai persamaan yang ketara dengan pembangunan sebuah jentera WEC. Perbezaan sekecil satu milimeter pada komponen tertentu sudah cukup untuk menyebabkan kehilangan prestasi.
Plat sendiri beberapa kali berkunjung ke fasiliti TOYOTA RACING di Cologne untuk menjalani body scanning dan analisis fizikal bagi mendapatkan kedudukan duduk yang paling optimum.
Maklum balas atlet kemudiannya digunakan untuk menyesuaikan struktur cockpit
dan posisi badan mengikut keperluan sebenar ketika perlumbaan.Seperti motorsport, pembangunan peralatan untuk perlumbaan kerusi roda juga tertakluk kepada peraturan teknikal tertentu. Menurut Kirschner, peraturan berkaitan racing wheelchair telah berubah ketika projek tersebut masih dalam fasa pembangunan.
Perubahan itu memerlukan pasukan kejuruteraan mencari penyelesaian baharu bagi kedudukan kaki Plat di dalam cockpit tanpa menjejaskan keselesaan serta prestasi.
Proses pembangunan tersebut akhirnya menghasilkan sebuah kerusi roda yang disesuaikan sepenuhnya mengikut bentuk badan serta gaya perlumbaan Plat.
Plat sendiri tidak meletakkan dirinya sebagai pilihan utama untuk memenangi Berlin Marathon kerana tahap persaingan yang tinggi.
Namun prestasi awal bersama kerusi roda baharu itu menunjukkan potensinya. Pada Cape Town Marathon Mei lalu, Plat berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua menggunakan jentera tersebut.
Kerjasama ini menjadi satu contoh bagaimana teknologi yang asalnya dibangunkan untuk dunia perlumbaan boleh diaplikasikan ke bidang berbeza.
Daripada carbon fibre, analisis struktur sehinggalah kepada ketepatan ukuran pada tahap milimeter, prinsip asasnya kekal sama dan mengurangkan kehilangan tenaga dan membantu atlet memperoleh prestasi maksimum.
Dalam dunia motorsport, setiap pecahan saat membawa perbezaan. Bagi Jetze Plat di Berlin Marathon nanti, falsafah yang sama kini diterjemahkan melalui tiga roda dan sebuah mesin yang dibangunkan khusus mengikut dirinya.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.