Automotif

Onitsuka Tiger Honda Mid Sports Concept Gabungan Automotif dan Fesyen

Share

Onitsuka Tiger Beri Sentuhan Tiger Yellow Pada Motosikal Konsep Honda

Honda dan jenama fesyen Jepun, Onitsuka Tiger mengumumkan kerjasama mereka dengan menggabungkan dunia motosikal dengan fesyen menerusi pengenalan Onitsuka Tiger Honda Mid Sports Concept.

Model konsep itu membuat penampilan sulung ketika pertunjukan Onitsuka Tiger sempena Milan Fashion Week 2027 Women’s Collection Spring/Summer di Milan, Itali pada 23 September 2026.

Kerjasama ini menarik kerana kedua-dua jenama mempunyai sejarah yang hampir selari. Honda diasaskan pada 1948, manakala Onitsuka Tiger bermula di Kobe, Jepun setahun kemudian pada 1949.

Selepas lebih 75 tahun, kedua-duanya berkembang menjadi jenama global, namun dalam bidang yang cukup berbeza. Honda membina reputasi melalui teknologi dan pembangunan kenderaan, sementara Onitsuka Tiger bermula dengan penghasilan kasut sukan sebelum berkembang sebagai sebuah jenama fesyen antarabangsa.

Persamaan dari segi pendekatan terhadap teknologi, ketelitian pembuatan dan keberanian meneroka idea baharu menjadi asas kepada kerjasama ini.

Onitsuka Tiger Honda Mid Sports Concept

Sebagai simbol utama kolaborasi tersebut, Honda menghasilkan Onitsuka Tiger Honda Mid Sports Concept, sebuah motosikal konsep berasaskan model sports kelas pertengahan.

Rekaannya menggunakan Tiger Yellow, warna ikonik Onitsuka Tiger sebagai warna asas pada badan motosikal ini.

Identiti itu kemudian diperkukuhkan dengan jalur hitam tebal yang melintasi kedua-dua sisi motosikal, sekali gus menghasilkan kombinasi warna yang cukup sinonim dengan jenama fesyen berkenaan.

Bahagian roda pula menggunakan kemasan hitam sebagai warna utama bersama perincian Tiger Yellow, selain menampilkan logo Honda dan Onitsuka Tiger.

Honda berkata setiap elemen pada motosikal berkenaan, daripada kombinasi warna hingga ke perincian kecil, diberi perhatian bagi menghasilkan sebuah jentera yang benar-benar mewakili identiti kedua-dua jenama.

Walaupun Honda tidak mendedahkan model sebenar yang menjadi asas kepada konsep tersebut atau butiran mengenai enjin dan prestasinya, projek ini dilihat lebih tertumpu kepada eksplorasi reka bentuk serta hubungan antara motosikal dan fesyen.

Koleksi Fesyen Berinspirasikan Motosikal

Kerjasama itu tidak terhad kepada motosikal sahaja.

Onitsuka Tiger turut memperkenalkan koleksi kasut dan pakaian khas yang menggunakan Wing Mark, iaitu simbol yang cukup sinonim dengan motosikal Honda.

Koleksi tersebut mengambil inspirasi daripada budaya motosikal dan diperkenalkan bersama Onitsuka Tiger Honda Mid Sports Concept ketika pertunjukan fesyen di Milan.

Menurut Honda, kehadiran motosikal konsep bersama koleksi fesyen berkenaan menjadi peluang untuk memperlihatkan persamaan kedua-dua jenama dari segi perhatian terhadap perincian serta kualiti pembuatan.

Kerjasama Honda dan Onitsuka Tiger juga menunjukkan bagaimana budaya motosikal kini semakin berkembang di luar lingkungan produk automotif semata-mata.

Bagi Honda, pendekatan ini membuka ruang untuk memperkenalkan budaya motosikal kepada kelompok pengguna yang lebih luas menerusi gabungan elemen reka bentuk, gaya hidup dan fesyen.

Buat masa ini, Onitsuka Tiger Honda Mid Sports Concept masih merupakan sebuah model konsep, dan Honda belum mengumumkan sebarang perancangan untuk menghasilkannya sebagai model produksi.

Baca Juga : 8 Tahun “Warranty” & “Unlimited Mileage”, Honda City Baharu Dilancarkan di Malaysia

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Related Post
Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi