Sejak diperkenalkan ke pasaran Malaysia, Aveta Nova 200 berjaya menarik perhatian ramai penunggang yang mencari sebuah skuter harian dengan kapasiti enjin lebih besar dengan harga yang berpatutan. Aveta Nova 200 dijual dengan harga permulaan RM8,488 hadir dengan pelbagai ciri yang lazimnya ditemui pada model yang lebih mahal seperti ABS dua saluran, Traction Control System (TCS), Smart Key dan lampu LED penuh.
Namun seperti biasa, spesifikasi di atas kertas hanyalah sebahagian daripada cerita. Persoalan sebenar adalah bagaimana prestasi Nova 200 apabila ditunggang di jalan raya sebenar?
Enjin 183cc Lebih Berkuasa
Aveta Nova 200 hadir dengan enjin satu silinder 183.3cc penyejukan cecair dan menghasilkan 18 hp dan 17.6 Nm tork. Sepanjang tunggang uji, apa yang paling menyerlah adalah karakter enjinnya yang cukup responsif untuk kegunaan harian.
Dari kedudukan pegun sehingga kelajuan sederhana, penghantaran kuasa terasa lancar dan tidak memerlukan bukaan pendikit yang terlalu agresif. Ketika memotong kenderaan di jalan persekutuan atau lebuh raya, Nova 200 masih mempunyai baki kuasa yang mencukupi untuk memberikan keyakinan kepada penunggang.
Berbanding Nova 160, peningkatan prestasi ini jelas dapat dirasai terutama ketika membawa pembonceng atau menempuh laluan berbukit.
Ringan Dan Mudah Dikendalikan
Salah satu kelebihan terbesar Nova 200 ialah berat keseluruhannya yang hanya sekitar 112 kilogram. Angka ini menjadikannya antara skuter paling ringan dalam kategori 180cc hingga 200cc.
Ketika menunggang dalam trafik bandar yang sesak, Nova 200 terasa lincah dan mudah dikawal. Pergerakan mencelah di antara kenderaan juga tidak memerlukan banyak tenaga dan motosikal ini tidak memberikan rasa berat walaupun ketika membuat pusingan U atau meletakkannya di ruang parkir yang sempit.
Bagi penunggang baharu atau mereka yang beralih daripada motosikal kapcai ke skuter, karakter ini pastinya menjadi satu kelebihan.
Ads
Mampu Cruising 120 km/j Dengan Selesa
Di lebuh raya, Nova 200 menunjukkan prestasi yang agak mengagumkan untuk sebuah skuter dalam julat harga ini.
Sepanjang tunggan uji, kelajuan antara 120 km/j hingga 123 km/j dapat dikekalkan dengan konsisten tanpa sebarang masalah besar. Enjin masih berada dalam keadaan yang selesa dan tidak menunjukkan tanda-tanda terlalu dipaksa.
Ini menjadikan Nova 200 sesuai untuk penunggang yang kerap menggunakan lebuh raya bagi perjalanan harian atau perjalanan jarak sederhana untuk ke tempat kerja.
Walaupun bukan sebuah skuter yang dibangunkan khusus untuk touring jarak jauh, keupayaannya mengekalkan kelajuan cruising melebihi 120 km/j sudah cukup mengagumkan bagi sebuah model bawah RM9,000.
Ciri Keselamatan yang Lengkap
Satu lagi aspek yang sukar dinafikan ialah nilai yang ditawarkan oleh Nova 200.
ABS dua saluran memberikan keyakinan tambahan ketika membrek secara mengejut manakala sistem TCS membantu mengurangkan risiko tayar belakang kehilangan cengkaman ketika jalan licin.
Ads
Turut melengkapkan pakej ini ialah Smart Key, port pengecas USB Type-A dan Type-C, Idling Stop System (ISS), lampu LED penuh serta tangki bahan api 10 liter yang sesuai untuk perjalanan lebih jauh.
Berdasarkan spesifikasi semata-mata, Nova 200 menawarkan antara pakej paling lengkap dalam kelasnya.
Suspensi Sedikit Keras
Walau bagaimanapun, Nova 200 bukanlah sebuah motosikal yang sempurna.
Sepanjang ujian, sistem suspensinya didapati sedikit keras terutama apabila melalui jalan yang mempunyai permukaan tidak rata atau sambungan jambatan.
Walaupun karakter ini membantu memberikan rasa lebih stabil ketika kelajuan tinggi, ia sedikit mengorbankan keselesaan apabila digunakan di kawasan bandar yang mempunyai banyak lubang atau jalan rosak.
Ads
Bagi sesetengah penunggang, perkara ini mungkin bukan isu besar, namun mereka yang mengutamakan keselesaan maksimum mungkin akan merasainya selepas menunggang dalam tempoh yang panjang.
Satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian ialah ergonomiknya.
Bagi penunggang dengan ketinggian sekitar 180 sentimeter ke atas serta mempunyai saiz badan yang besar, ruang lutut didapati agak terhad.
Ketika menunggang dalam posisi santai, lutut berada agak hampir dengan bahagian hadapan badan motosikal. Ia tidak sehingga mengganggu kawalan motosikal, tetapi untuk perjalanan yang panjang, sesetengah penunggang mungkin memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri.
Penunggang dengan ketinggian sederhana kemungkinan besar tidak akan menghadapi masalah ini.
Secara keseluruhan, Aveta Nova 200 berjaya menampilkan dirinya sebagai sebuah skuter harian yang praktikal, menyeronokkan untuk ditunggang dan menawarkan nilai wang yang sangat baik. Bagi mereka yang mencari skuter bawah RM10,000 dengan prestasi lebih matang berbanding skuter 150cc biasa, Nova 200 sememangnya wajar berada dalam senarai pilihan utama.
Walaupun berada dalam segmen 250cc, Honda CBR250RR tampil sebagai salah satu model paling lengkap dan berprestasi dalam kelasnya.
Dibangunkan dengan fokus terhadap prestasi, ketangkasan dan teknologi, jentera dua silinder ini bukan sekadar motosikal untuk “beginner” ia juga sebuah motosikal yang sesuai untuk penunggang berpengalaman yang mencari pakej sportbike berskala kecil.
Ujian kali ini melibatkan laluan Shah Alam – Banting – Morib – Sepang – KLIA- Saujana Putra – Banting, merentasi lebuh raya KESAS, WCE,ELITE, SKVE dan jalan pesisir yang beralun.
Pemilihan laluan ini bertujuan menilai kestabilan, respon suspensi, karakter enjin, serta keselesaan tunggangan dalam pelbagai kondisi — dari kelajuan tinggi dan jalan beralun
Walaupun menawarkan ergonomik sportbike, riding triangle CBR250RR cukup ergonomik untuk penunggang berbadan besar.
Dengan berat penunggang sekitar 125kg, posisi menunggang kekal neutral – tidak terlalu menunduk, tetapi cukup agresif untuk kawalan optimum.
Ketinggian tempat duduk 790mm dan tangki yang direka dengan rekaan ergonomik memberi sokongan baik untuk jarak jauh.
CBR250RR dijana oleh enjin 249.7cc DOHC Parallel-Twin, penyejukan cecair, dengan teknologi Throttle-by-Wire yang membolehkan tiga mod tunggangan: Comfort, Sport, dan Sport+.
Dalam mod Comfort, penyaluran kuasa lembut dan progresif.
Mod Sport memberi sedikit lebih punch di RPM pertengahan, manakala Sport+ mengaktifkan sepenuhnya kuasa dan respon enjin, menghasilkan pengalaman tunggangan paling agresif.
Apa yang ketara, transisi antara mod adalah pantas dan terasa, bukan sekadar gimmick.
Dalam mod Sport+, penunggang dapat menikmati respons throttle yang tajam dan RPM yang naik dengan lebih pantas.
Dengan berat penunggang 128kg, top speed yang berjaya dicapai ialah 170 km/j dalam keadaan angin neutral dan jalan rata.
Ini menunjukkan kecekapan enjin dua silinder yang mampu memberikan kuasa konsisten walaupun di RPM tinggi.
Penunggang dengan berat lebih ringan berpotensi mencecah angka lebih tinggi membuktikan CBR250RR bukan sekadar gaya, tetapi hadir dengan prestasi yang padu.
Sistem suspensi depan USD Showa SFF-BP dan lengan ayun aluminium belakang digabungkan dengan kerangka keluli diamond-type yang ringan dan rigid.
Tindak balas suspensi sangat responsif, terutama ketika mengambil selekoh di kawasan beralun antara laluan Morib sehingga ke Bagan Lalang melalui jalan pesisir pantai, membuktikan set up dari kilang sudah cukup sempurna.
Dengan pakej lengkap dari segi enjin, casis, aerodinamik dan teknologi, CBR250RR adalah benchmark dalam kategori sportbike dua silinder 250cc.
Ia memberikan pengalaman menunggang hampir setanding dengan model middleweight, menjadikannya pilihan ideal untuk penunggang yang inginkan pakej lengkap di antara keselesaan dan kuasa.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Pahang memang lokasi terbaik untuk rider motosikal yang suka “Ride Layan Corner” dan nikmati keindahan alam.
Kalau anda semua tengah mencari lokasi lepak yang best hujung minggu ini, jom tengok 5 cadangan lokasi ride layan corner di Pahang ni!
Lebuhraya Karak adalah laluan utama yang menghubungkan Kuala Lumpur ke pantai timur. Dengan selekoh-selekoh yang mencabar dan jalan raya yang baik, ia adalah laluan yang popular untuk rider motosikal.
Pemandangan hutan dan perbukitan di sepanjang jalan membuatkan perjalanan lebih menarik dan mengasyikkan.
Selain itu lebuhraya yang lebar dan luas menjadi salah satu faktor lokasi laluan ni sesuai untuk layan corner.
Genting Highland bukan setakat tempat pelancongan sahaja, tapi juga destinasi ride yang padu. Dengan cuaca yang agak sejuk, ride pun tidak berpeluh.
Jalan ke sini penuh dengan selekoh tajam dan pemandangan gunung yang memang cun habis. Memang perfect untuk anda yang suka cabaran!
Bukit Tinggi, terletak berhampiran Genting Highland, adalah satu lagi destinasi popular untuk rider.
Jalan menuju ke sini menawarkan selekoh yang mencabar dengan pemandangan indah hutan hujan tropika.
Di Bukit Tinggi, anda boleh singgah di Colmar Tropicale, sebuah resort yang menyerupai perkampungan Perancis yang unik.
Tempat ni memang sesuai untuk rehat seketika sambil menikmati suasana tenang.
Bukit Fraser ni port klasik untuk rider.
Jalan sempit dan berliku, pemandangan hutan hijau, memang best.
Ride kat sini memang cabar skill anda semua. Sampai puncak, udara sejuk dan pemandangan cantik menanti.
Cameron Highland terkenal dengan ladang teh dan cuaca sejuk. Laluan ke sini penuh selekoh tajam dan jalan berbukit, memang syok!
Boleh berhenti sekejap minum teh sambil nikmati pemandangan ladang teh yang luas.
Terdapat 2 laluan sama ada melalui Tapah atau Simpang Pulai. Bagi anda yang berkemahiran layan corner boleh menggunakan laluan Tapah kerana laluannya agak sempit dan selekoh yang begitu tajam.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Dalam barisan skuter Yamaha, NMAX terus mengukuhkan reputasinya sebagai model pilihan mereka yang mahukan keselesaan, praktikaliti dan imej lebih matang. Kehadirannya melengkapkan segmen skuter urban Yamaha yang semakin berkembang di Malaysia.
Sebaliknya, Yamaha NVX sering menjadi wajah utama dalam kelompok belia. Reka bentuknya yang tajam dan sporty menjadikan ia simbol gaya hidup aktif, sekaligus faktor utama mengapa ramai meletakkan NVX di tangga teratas berbanding NMAX. Dengan kata lain, NMAX menawarkan keselesaan dan ergonomik, manakala NVX mengetengahkan gaya serta visual.
Penulis sebelum ini pernah menunggang uji Yamaha NVX, namun pengalaman tersebut kurang meninggalkan kesan yang positif kerana posisi tunggangan skuter tersebut tidak begitu selesa, khususnya bagi penulis yang berbadan besar dan bertubuh tinggi.
Sebaliknya, setelah mencuba Yamaha NMAX, persepsi itu berubah sama sekali. Ya, inilah antara skuter yang paling selesa pernah penulis tunggang, menawarkan ergonomik yang benar-benar sesuai untuk penunggang dengan fizikal lebih besar.
Generasi terbaharu Yamaha NMAX 155 ABS 2025 hadir dengan pelbagai penambahbaikan yang berjaya meningkatkan pengalaman tunggangan secara keseluruhan.
Daripada rekaan luaran yang lebih segar, posisi kaki yang menawarkan tahap keselesaan optimum, hinggalah kepada integrasi teknologi moden, model ini benar-benar memberi impresi sebagai sebuah skuter serba lengkap.
Ia bukan sahaja sesuai untuk kegunaan harian dalam bandar, malah cukup praktikal dan bergaya untuk perjalanan jarak jauh lebih-lebih bagi mereka yang tinggal jauh daripada tempat kerja.
Perubahan ketara dapat dilihat pada rekaan lampu hadapan projektor LED baharu yang tampil lebih segar dan moden. Satu aspek yang wajar dipuji ialah keunikannya kerana rekaan lampu ini tidak menyerupai mana-mana model skuter lain di pasaran, memberikan identiti tersendiri kepada NMAX.
Dalam sesi tunggang uji di Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (West Coast Expressway) yang gelap tanpa lampu jalan, prestasi lampu hadapan ini benar-benar meyakinkan. Walaupun saiznya kelihatan kecil, tahap pencahayaan yang dihasilkan sangat terang dan jelas, memberikan keyakinan tambahan ketika menunggang pada waktu malam.
Rekaan garisan badannya kini tampil lebih kemas dengan sentuhan premium, sambil mengekalkan saiz kompak yang memudahkan penunggan untuk mencelah trafik ketika kesesakan jalan raya tanpa terlalu risau.
Walaupun dimensinya kecil sedikit jika dibanding dengan NVX atau XMAX, pengalaman menunggang di lebuh raya tetap meyakinkan dan lebih menarik skuter ini mampu mencapai kelajuan maksimum 123 km/j, dan dengan berat penulis sekitar 130 kg dan ia masih stabil serta mudah dikawal.
Aspek suspensi turut memberi sumbangan penting terhadap kestabilan tersebut. Kehadiran penyerap hentak berkembar di bahagian belakang bukan sahaja meningkatkan tahap keselesaan, malah memastikan kawalan lebih mantap, khususnya ketika menampung beban penunggang dengan berat badan yang lebih tinggi.
Pilihan warna yang ditawarkan Yamaha untuk NMAX kali ini turut menarik perhatian. Dua warna yang diketengahkan iaitu Magma Black dan Sky Blue memberikan identiti lebih unik berbanding model skuter lain dalam segmennya. Warna matte ini sememangnya tampil premium, namun ia memerlukan penjagaan rapi kerana lebih sensitif terhadap calar dan tidak boleh dipulihkan melalui proses polish seperti warna “gloss” atau “mettalic”.
Antara ciri yang paling menyerlah pada Yamaha NMAX ialah ruang pemijak kaki di bahagian hadapan yang luas dan direka secara ergonomik. Sebagai penunggang yang berulang-alik hampir 60 km setiap hari, faktor utama dalam pemilihan skuter untuk perjalanan jauh pastinya keselesaan, bukannya kelajuan semata-mata. Dalam aspek ini, NMAX benar-benar memberi kelebihan yang sukar diabaikan.
Dengan harga yang masih berada dalam lingkungan mampu milik penulis di bawah RM15000, NMAX tampil sebagai pilihan utama. Selepas sesi tunggang uji, timbul rasa seolah-olah model ini sesuai untuk menggantikan skuter harian penulis. Bonus paling besar ialah keupayaan untuk melunjurkan kaki ketika menunggang, sesuatu yang amat dihargai terutama bagi mereka yang berbadan besar, bertubuh tinggi atau mempunyai masalah lutut.
Dengan ketinggian 175 cm, penulis tidak menghadapi sebarang kesukaran untuk duduk lama di atas tempat duduk Yamaha NMAX. Posisi tempat duduk yang selesa, hendal yang mudah dicapai serta ruang pemijak kaki yang panjang memberi fleksibiliti tambahan ketika menunggang jarak jauh. Secara keseluruhan, ia memberikan pengalaman seakan menunggang skuter bersaiz lebih besar, walaupun saiznya kekal kompak dan praktikal untuk kegunaan harian.
Ruang simpanan di bawah tempat duduk sememangnya menjadi faktor penting bagi mana-mana skuter harian, dan Yamaha NMAX V3 tampil meyakinkan dengan kapasiti 25 liter. Ruang ini cukup luas untuk memuatkan sebuah helmet jenis half-face, beg kecil, baju hujan, malah masih ada lebihan untuk sebotol air. Bagi mereka yang menggunakan skuter untuk berulang-alik ke tempat kerja, ruang penyimpanan ini jelas memberi kemudahan tambahan tanpa perlu menambah “box” di bahagian belakang.
Sebagai sebuah skuter yang direka tanpa bakul hadapan, kehadiran ruang bawah tempat duduk yang praktikal ini sangat penting. Malah dalam situasi harian, contohnya ketika singgah membeli barang keperluan dapur selepas pulang dari kerja, ruang ini masih mampu menampung barangan asas seperti ayam, sayur atau sekampit beras. Jajan anak pun lepas nak letak di ruangan penyimpanan ini.
Enjin 155 cc SOHC Blue Core yang digunakan pada Yamaha NMAX sememangnya sudah dikenali dengan reputasi tahan lasak serta kecekapan penggunaan bahan api. Mampu menghasilkan output sekitar 15.4 PS pada 8,000 rpm dan tork 14.2 Nm pada 6,500 rpm, ia menawarkan kuasa yang memadai untuk kegunaan harian, sama ada di bandar mahupun di lebuh raya.
Tidak dapat dinafikan, kini terdapat skuter daripada pengeluar lain yang hadir dengan kapasiti enjin lebih besar pada harga lebih rendah. Namun, perbezaan ketara yang dirasai adalah dari aspek getaran (vibration). Dalam pengalaman tunggang uji model-model lain, getaran pada kelajuan tinggi dan bacaan rpm yang lebih tinggi sering kali menjejaskan keselesaan, terutama bagi perjalanan jarak jauh. Yamaha NMAX pula berjaya mengawal isu ini dengan baik walaupun dipandu pada kelajuan tinggi, tahap getarannya kekal minimum, sekaligus memberikan tunggangan yang lebih selesa dan meyakinkan.
Beberapa ciri baharu yang ditawarkan pada Yamaha NMAX 2025 jelas menambah nilai dan memperkukuh kedudukannya dalam segmen skuter premium kompak. Dari aspek keselamatan, model ini hadir dengan sistem brek ABS pada kedua-dua roda yang memberikan keyakinan tambahan ketika membrek mengejut, terutama di jalan licin. Dipadankan dengan cakera brek depan dan belakang, tahap stopping power juga lebih konsisten serta meyakinkan. Tambahan pula, ciri Traction Control membantu mengawal putaran roda apabila tayar mula hilang cengkaman, memberikan kestabilan lebih baik ketika menunggang dalam situasi mencabar.
Dari sudut kecekapan, sistem Start-Stop turut disertakan bagi menjimatkan penggunaan bahan api, khususnya ketika berhenti lama di lampu isyarat. Sementara itu, pengalaman menunggang dipertingkatkan dengan paparan LCD moden yang walaupun monokrom, tetap jelas dibaca dan mampu disambungkan ke aplikasi Y-Connect. Melalui aplikasi ini, penunggang boleh memantau jadual servis, serta menerima notifikasi daripada telefon pintar.
Tidak ketinggalan, port pengecas USB Type-C yang ditempatkan di kompartmen hadapan memudahkan penunggang mengecas peranti mudah alih sepanjang perjalanan, menjadikan NMAX lebih praktikal untuk kegunaan seharian.
Walaupun dikategorikan sebagai sebuah maxi-scooter, Yamaha NMAX V3 tetap terasa ringan dan mudah dikawal, khususnya ketika berdepan kesesakan lalu lintas di bandar. Dengan berat sekitar 131 kg, ia tidak membebankan dan lincah untuk weaving di antara kenderaan lain. Ditambah pula dengan tangki bahan api berkapasiti 7.1 liter yang dipadankan bersama enjin Blue Core, model ini muncul antara skuter paling efisien dalam kelasnya dari segi penggunaan petrol, menjadikannya pilihan ideal untuk kegunaan ulang-alik harian.
Dalam ujian harian, penulis menggunakan NMAX untuk perjalanan dari Jugra, Banting ke Seksyen 15, Shah Alam hampir setiap hari. Menariknya, penggunaan bahan api hanya menurun sekitar satu bar sahaja bagi setiap perjalanan pergi dan balik. Walaupun kadar penggunaan ini turut dipengaruhi oleh faktor berat badan penunggang, ia tetap membuktikan tahap kecekapan bahan api NMAX yang sangat baik untuk sebuah skuter bersaiz sederhana.
Dari segi kesesuaian, Yamaha NMAX V3 boleh dianggap sebagai skuter serba boleh yang memenuhi keperluan pelbagai jenis penunggang. Untuk mereka yang berulang-alik ke tempat kerja, model ini sangat praktikal. Saiznya yang kompak memudahkan pergerakan di celah-celah trafik, penggunaan bahan api yang efisien menjimatkan kos harian, manakala ruang simpanan bawah tempat duduk cukup luas untuk memuatkan beg kerja bersaiz kecil.
Bagi penunggang wanita pula, ketinggian tempat duduk pada paras 765 mm dianggap mesra pengguna. Ditambah dengan berat keseluruhan yang ringan dan rekaan moden yang bergaya, ia menjadikan NMAX mudah dikawal serta berpotensi menarik minat golongan wanita yang mahukan skuter praktikal tetapi tetap tampil bergaya.
Untuk penunggang bertubuh tinggi, NMAX turut menawarkan kelebihan tersendiri. Dengan ruang kaki yang luas dan tempat duduk panjang, mereka yang melebihi ketinggian 175 cm boleh duduk dengan selesa tanpa rasa sempit, menjadikan tunggangan jarak jauh lebih menyenangkan.
Di pasaran Malaysia, Yamaha NMAX 155 V3 ABS 2025 ditawarkan pada harga RM11,498 (atas jalan tanpa insurans). Harga ini boleh dianggap kompetitif jika dibandingkan dengan pesaing sekelas, terutama apabila mengambil kira senarai kelengkapan yang ditawarkan. Dengan ciri keselamatan seperti ABS pada kedua-dua roda, sistem Traction Control, serta praktikaliti ruang kaki yang luas dan selesa, NMAX hadir sebagai pakej lengkap sesuai untuk kegunaan bandar mahupun perjalanan jarak jauh.
Dari sudut kemampuan memiliki, lazimnya pengeluar kewangan menetapkan had ansuran kenderaan tidak melebihi 15–20% daripada gaji bersih bulanan. Jika diambil kira tempoh pinjaman lima tahun dengan kadar faedah sekitar 5% (anggaran faedah bergantung kepada pengeluar kewangan yang anda pilih), ansuran bulanan NMAX dianggarkan dalam lingkungan RM220–RM250. Ini bermakna, gaji bersih sekitar RM1,500–RM1,800 sebulan sudah memadai untuk layak memiliki model ini tanpa membebankan komitmen bulanan. Bagi mereka yang berpendapatan lebih tinggi, NMAX tampil sebagai pilihan skuter versatil yang bukan sahaja bergaya, malah praktikal dan ekonomik.
Selepas beberapa hari menguji Yamaha NMAX 155 V3 ABS 2025, pendapat peribadi penulis jelas bahawa ia merupakan antara skuter bandar paling selasa dalam kelasnya. Sama ada untuk penunggang lelaki mahupun wanita, golongan muda atau yang lebih berpengalaman, NMAX menawarkan pakej serba lengkap yang memenuhi pelbagai keperluan.
Reka bentuk yang segar, ruang penyimpanan yang luas, serta sokongan teknologi moden menjadikannya pilihan yang logik dan praktikal. Prestasinya juga meyakinkan dengan kelajuan maksimum sekitar 123 km/j walaupun ditunggang oleh penunggang berbadan besar, ia membuktikan bahawa NMAX bukan sekadar skuter harian biasa, tetapi cukup tahan untuk kegunaan jarak jauh.
Dengan harga yang kompetitif dalam segmennya, Yamaha NMAX 155 2025 menonjol sebagai salah satu value-for-money skuter terbaik di pasaran Malaysia. Jika anda sedang mencari skuter yang selesa untuk ulang-alik kerja, stabil untuk perjalanan jauh, sesuai untuk semua peringkat penunggang dan tetap bergaya untuk santai hujung minggu, Yamaha NMAX 155 2025 wajar berada dalam senarai pilihan utama anda.
KLIMS 2026 Kembali Dengan Fokus Mobiliti Pintar dan Teknologi Hijau
Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026 secara rasminya membuka tirai di Malaysia International Trade...