SYM Husky 150, sebuah skuter bandar yang telah dilancarkan pada bulan April yang lalu, kini menjadi pilihan terbaru bagi mereka yang mencari skuter yang praktikal dan ekonomikal untuk kegunaan harian.
Dengan enjin satu silinder empat injap, Husky 150 ini mampu menghasilkan kuasa sehingga 14.4 kuasa kuda dan 14.5 Nm tork.
Skuter ini menjadikannya sebuah skuter yang cukup berkuasa untuk kelasnya.
Pengalaman Tunggang Uji
Roda Panas berpeluang untuk menjalankan sesi tunggang uji bagi SYM Husky 150 ini, khususnya dalam persekitaran bandar.
Fokus utama ujian ini adalah untuk menilai keselesaan dan, yang paling penting, kadar penggunaan bahan api skuter ini.
Dari segi keselesaan, perkara ini memang agak subjektif, tetapi kami akan cuba menerangkan sebaik mungkin berdasarkan pengalaman menunggang.
Keselesaan Tunggangan
Bercakap tentang keselesaan, SYM Husky 150 memang menawarkan sesuatu yang berbeza berbanding skuter lain dalam kelasnya.
Penulis, yang mempunyai fizikal tubuh badan besar (sekitar 130KG), mendapati bahawa reka bentuk tempat duduk yang lebar dan tebal pada Husky 150 ini sangat sesuai.
Ads
Berbanding dengan motosikal lain yang memiliki tempat duduk yang nipis dan kecil, seperti Yamaha Y16ZR, Husky 150 memberikan sokongan yang lebih baik, menjadikan perjalanan sejauh 100KM pertama masih selesa tanpa sebarang masalah ketara.
Namun begitu, bagi mereka yang mempunyai ketinggian di bawah 170cm, mungkin akan menghadapi sedikit kesukaran untuk mengimbangi motosikal ini terutama ketika berhenti di persimpangan atau lampu isyarat, disebabkan oleh saiz dan ketinggian tempat duduk yang ditetapkan pada 785 mm.
Penggunaan Bahan Bakar
Salah satu tarikan utama skuter ini ialah kapasiti tangki bahan apinya.
Dengan tangki yang boleh memuatkan sekitar 15 liter petrol, ia adalah salah satu yang terbesar dalam kategori skuter 150 cc.
Berdasarkan tunggang uji, tangki penuh SYM Husky 150 ini diisi dengan kos sekitar RM28 hingga RM30 menggunakan minyak RON95.
Ads
Selepas perjalanan sejauh 80KM dalam persekitaran bandar yang sesak, bar pertama meter minyak mula turun.
Secara keseluruhan, anggaran penggunaan bahan api untuk satu tangki penuh adalah antara 200KM hingga 250KM.
Ini adalah satu kelebihan besar bagi mereka yang tidak suka kerap ke stesen minyak.
Sistem Suspensi
Dari segi sistem suspensi, SYM Husky 150 menawarkan prestasi yang memuaskan.
Ads
Suspensi hadapannya sangat selesa dan tidak terlalu keras, memberikan pengalaman menunggang yang stabil dan selesa di dalam bandar.
Suspensi belakang pula walaupun hanya menggunakan sistem suspensi tunggal, masih memberikan keselesaan yang baik, lebih baik jika dibandingkan dengan model lain dalam kelasnya.
Namun, apabila mengambil selekoh pada kelajuan tinggi, terdapat sedikit rasa ‘membuang’, tetapi skuter ini masih boleh dikawal dengan baik.
Kesimpulan
Secara keseluruhan, SYM Husky 150 adalah pilihan yang baik untuk mereka yang memerlukan skuter untuk kegunaan harian, terutamanya untuk perjalanan pergi dan balik kerja.
Kelebihan utamanya termasuk kapasiti tangki bahan api yang besar, keselesaan tempat duduk yang baik, dan ruang penyimpanan yang mencukupi untuk barang-barang peribadi.
Dengan kelebihan-kelebihan ini, SYM Husky 150 adalah skuter yang sesuai untuk mereka yang mencari keseimbangan antara keselesaan dan penjimatan.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Proton S70 yang dilancarkan pada November 2023, dilihat mencapai data jualan yang memberangsangkan dengan lebih dari 10,000 unit sudah terjual. Namun, apa yang istimewanya segmen sedan dari Proton kali ini?
Dalam artikel ini kami akan rungkaikan pengalaman jujur kami memandu dan menguji S70 di sekitar Lembah Klang. Perkara yang ingin dikongsikan ini bukanlah ‘satu saiz untuk semua’, mungkin ada perkara yang pembaca kurang berkenan dan mungkin ada yang pembaca gemar. Jadi tepuk dada, semak akaun bank dan tanya pasangan/rakan.
Satu perkara yang pasti akan menarik perhatian ramai adalah reka bentuk. Proton S70 diperkenalkan melalui empat varian iaitu, Executive, Premium, Flagship dan Flagship X. Namun perbezaan bagi kesemua ini tidaklah jauh beza. Sebagai contoh, Executive dan Premium hadir dengan rim saiz 16 manakala dua lagi rim saiz 17.
Kelainan lain terletak pada komponen kosmetik dan pencahayaan seperti bar lampu belakang, penggunaan lampu depan ,sunroof ,kit badan dan lain-lain.
Secara keseluruhan, Proton S70 tampak lebih berjiwa muda – namun tidak terlalu muda. Pendapat kami, lingkungan umur yang nampak normal memandu S70 (berdasarkan rekaan) adalah umur 25 tahun ke atas.
Proton S70 dilengkapi dengan enjin yang lebih berkuasa dan efisien. Proton menawarkan enjin 1.5 liter turbocharged – sama seperti model X50 dan X70. Enjin ini mampu memberikan keseimbangan antara kuasa dan penjimatan bahan api. Tangki penuh (50 liter) boleh jalan hingga 660 kilometer! Kuasa maksimum yang mampu dicapai adalah sekitar 150HP, 226 Nm tork – transmisi Dual Clutch 7 kelajuan.
Bayangkan enjin 1.5L turbo diletakkan pada kereta Sedan, memang berdesup laju. Kelajuan maksimum yang mampu dicapai adalah sekitar 210 km/j bergantung kepada keadaan cuaca, jalan, trafik, angin ,suhu ,kapasiti bahan api ,muatan dan mod pemanduan – Eco, Comfort, Sport.
Dalam era di mana teknologi memainkan peranan penting dalam pengalaman pemanduan, Proton S70 lengkap dengan pelbagai ciri teknologi terkini. Sistem infotainment lebih canggih dengan skrin lebih besar (12.3 inci), sistem navigasi, arahan suara, keterhubungan telefon pintar, cas tanpa wayar, 5 slot USB, boleh hidupkan enjin dari jarak jauh dan pelbagai lagi perincian yang menyenangkan pengguna.
Dari segi pengendalian, S70 lulus jangkaan kami dengan cemerlang. Kami pandu uji di kawasan berliku dengan selekoh yang sempit, ternyata S70 mampu memberi pengendalian yang sangat bagus. Di bawah 40 km/j, model ini masih mampu untuk membalas selekoh tanpa rasa membuang atau tidak stabil. Syabas Proton!
Pada kelajuan tinggi pula, gegaran dan body-roll kereta sangat minimum. Sehingga satu tahap anda terasa seperti meluncur pada kelajuan sederhana. Jadi fokus dan risiko perlu diambil kira dan sentiasa patuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan. Pusingan radius stereng juga lebih panjang jika dibandingkan dengan model terdahulu – Proton Preve.
Selain itu, ciri keselamatan seperti brek kecemasan automatik, kawalan kestabilan elektronik, dan enam beg udara akan meningkatkan keselamatan pemandu dan penumpang. Secara keseluruhan, ada 15 perincian keselamatan pada model S70 ini. Sebab itu ianya lulus ujian keselamatan ASEAN NCAP dengan skor lima bintang.
Salah satu kekuatan utama Proton S70 adalah ruang dalaman. Dengan penekanan kepada keselesaan, tempat duduk direka lebih ergonomik dengan bahan berkualiti tinggi. Setiap sudut dalaman telah diberi fungsi tertentu yang sudah semestinya memberi kesenangan kepada pengguna.
Seperti ruang simpan barang di bawah panel tengah & arm rest, penghawa dingin penumpang belakang, susunan sistem infotainment, tempat letak telefon pintar dan bermacam lagi. Sunroof pula hanya terdapat pada varian Flagship X sahaja.
Selain itu, ruang but yang lebih besar juga dapat menyediakan lebih banyak ruang untuk barangan, sesuai untuk keluarga atau mereka yang sering melakukan perjalanan jauh.
Dari segi kesenian, pada panel pintu terdapat corak benang putih yang direka bagi menambah karakter dan suasana premium kepada model ini.
Walaupun Proton S70 menawarkan pelbagai ciri dan teknologi terkini, ia masih lagi dijual dalam lingkungan harga yang berpatutan.
Bagi senarai harga, kami lampirkan di bawah ini mengikut versi S70:
Executive – RM73,800
Premium – RM79,800
Flagship – RM89,800
Flagship X – RM94,800
*Senarai harga tidak termasuk insurans
Kesimpulannya, model S70 adalah suatu nafas segar dan baru dari Proton kepada rakyat Malaysia. Pelbagai pendekatan yang cuba dibawa oleh Proton untuk memenuhi respon dan permintaan dari pengguna kereta di Malaysia. Justeru kami harap lebih ramai yang bangga dan memberi peluang kedua untuk Proton memenangi hati anda semula.
Pada musim luruh 1954, Institut Perubatan Penerbangan RAF menerima satu cabaran unik iaitu mengubah suai jet pejuang Gloster Meteor F8 WK935 untuk menguji konsep kedudukan juruterbang berbaring, atau “prone position.”
Dengan mengubah suai Meteor F8 ini, mereka berharap dapat menentukan sama ada juruterbang boleh mengatasi kesan graviti dengan lebih baik ketika terbang dalam kedudukan berbaring.
Pada awal 1950-an, konsep kokpit berbaring muncul sebagai satu inovasi yang menarik dalam reka bentuk pesawat tempur. Terdapat dua sebab utama untuk ini:
Syarikat Pesawat Bristol merancang untuk menggunakan kedudukan berbaring dalam cadangan pesawat tempur berkuasa roket mereka, Bristol Type 178.
Untuk membuktikan keberkesanan konsep ini, Institut Perubatan Penerbangan RAF memerlukan sebuah pesawat jet yang boleh diterbangkan oleh juruterbang dalam kedudukan berbaring.
Maka, Meteor F8 WK935 dipilih untuk diubah suai dan mula menjalani ujian pada musim luruh 1954.
Selepas lebih 55 jam ujian penerbangan, didapati bahawa walaupun kedudukan berbaring ini mempunyai kelebihan aerodinamik, ia membawa banyak kesukaran dalam pengendalian pesawat. Menurut pakar penerbangan, David Powell:
“Misi pesawat ini adalah untuk melihat jika terdapat sebarang faedah dalam kedudukan juruterbang berbaring. Ia membuktikan dengan jelas sebaliknya. Selain lebih sukar untuk diterbangkan disebabkan oleh susun atur yang tidak konvensional, juruterbang berbaring juga mempunyai penglihatan belakang yang terhad – yang dalam senario pertempuran tiruan terbukti menjadi kekurangan besar. Juga, tidak jelas bagaimana juruterbang boleh keluar dari kedudukan tersebut. Penyelesaian akhir adalah pakaian g-suit bertekanan yang semakin baik dan lebih berkesan serta mudah digunakan.”
Walaupun konsep kedudukan berbaring ini secara teknikalnya berfungsi, ia hanya praktikal jika benar-benar diperlukan untuk sebab-sebab aerodinamik.
Sebaliknya, perkembangan pakaian penerbangan seperti g-suit bertekanan menawarkan penyelesaian yang lebih mudah dan berkesan untuk mengatasi daya graviti tinggi.
Oleh itu, kedudukan juruterbang berbaring dilupakan.
Meteor F8 Prone Pilot masih wujud dan kini dipelihara di Muzium Tentera Udara Diraja di Cosford, UK.
Pesawat ini menjadi bukti usaha inovatif dalam penerbangan tempur dan cabaran yang dihadapi dalam mengejar kemajuan teknologi.
“Handsome wei kereta ni!”, “Lawa dohh!”, “Uish, cantik warna dia!” dan “Perghh, GR Corolla kan?!”
Itulah antara reaksi spontan yang keluar daripada mulut sahabat-sahabat penulis ketika pertama kali melihat Toyota GR Corolla ini secara langsung. Belum sempat kereta ini dipandu, imejnya yang dimuat naik di laman media sosial Roda Panas sudah menerima pelbagai pujian. Malah, ada juga yang mahu menetapkan appointment dengan penulis semata-mata untuk melihatnya dari dekat.
Dalam satu ayat, pengalaman pertama melihat Toyota GR Corolla ini boleh digambarkan sebagai jatuh cinta pandang pertama.
Hampir semua yang melihat kereta ini memberikan reaksi positif. Ada yang berpendapat Toyota GR Corolla sudah tampil cukup lengkap dan tidak perlu dimodifikasi lagi. Ada juga yang mengatakan ia sesuai untuk golongan ‘abah-abah’ yang memerlukan sebuah kereta untuk keluarga, tetapi pada masa sama masih mahu menikmati prestasi sebuah kereta sukan.
Tidak kurang juga sahabat penulis yang berkemampuan dan menyatakan hasrat untuk menjadikannya sebagai kereta harian. Persoalannya, adakah sebuah jentera berprestasi seperti Toyota GR Corolla benar-benar sesuai digunakan setiap hari?
Itulah yang ingin penulis rasai sendiri sepanjang sesi pandu uji kali ini.
Seawal jam 10 pagi, penulis tiba di ibu pejabat UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. di Seksyen 15, Shah Alam untuk mengambil Toyota GR Corolla ini.
Ribuan terima kasih diucapkan kepada Zoe Seng daripada Rantau PR dan Cik Hanis daripada Toyota yang membantu menguruskan proses sesi pandu uji ini.
Pada awalnya, penulis agak risau mengenai tahap keselesaan kabin disebabkan saiz fizikal penulis yang agak besar. Melihat rekaan tempat duduknya yang seakan-akan kerusi bucket dari luar membuatkan penulis terfikir sama ada ruangnya terlalu sempit atau kurang selesa untuk perjalanan jauh.
Namun, tanggapan itu berubah sebaik sahaja penulis duduk di dalamnya. Posisi pemanduan masih boleh disesuaikan dengan baik dan kerusi semi-bucket Brin Naub yang digunakan memberikan sokongan badan yang cukup selesa.
Bagi individu berbadan besar seperti penulis, perkara itu sememangnya memberikan sedikit kelegaan.
Keterujaan mula bertambah sebaik sahaja enjin dihidupkan. Bunyi deruman yang terhasil cukup untuk memberikan gambaran bahawa ini bukan Corolla biasa.
Toyota GR Corolla ini dikuasakan oleh enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga silinder turbo yang menghasilkan kuasa 300 PS pada 6,500 rpm serta tork maksimum 400 Nm antara 3,000 hingga 5,550 rpm.
Kuasa tersebut disalurkan kepada keempat-empat roda menerusi sistem pacuan semua roda GR-FOUR. Pembeli diberikan pilihan antara transmisi manual pintar enam kelajuan iMT atau transmisi automatik lapan kelajuan GR-DAT.
Kedua-dua varian mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 5.3 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 230 km/j. Bagi memastikan prestasi enjin berada pada tahap terbaik, penggunaan petrol minimum RON97 disyorkan.
Sebelum memulakan perjalanan, seperti biasa penulis mengambil sedikit masa untuk menelaah paparan meter dan sistem infotainmen yang disediakan.
Toyota GR Corolla hadir dengan meter digital bersaiz 12.3 inci, paparan head-up, skrin audio 10 inci serta sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.
Susun atur paparan cukup mudah difahami dan tidak mengambil masa lama untuk dibiasakan. Maklumat penting berkaitan pemanduan juga dapat dilihat dengan jelas tanpa terlalu mengganggu fokus pemandu.
Keluar sahaja dari ibu pejabat UMW Toyota Motor di Seksyen 15, penulis terus memasuki Lebuhraya Persekutuan untuk merasai sendiri pengalaman mengharungi kesesakan menggunakan kereta berprestasi dengan transmisi manual ini.
Secara jujurnya, pengalaman memandu GR Corolla dalam trafik tidaklah seteruk yang dibayangkan. Pergerakan klacnya agak lembut, penukaran gear lancar dan posisi pemanduan juga selesa.
Walaupun ia sebuah kereta berprestasi tinggi, Toyota masih mengekalkan tahap keselesaan yang munasabah untuk kegunaan harian. Bagi individu berbadan besar seperti penulis, ruang dan posisi pemanduannya masih boleh diterima dengan baik.
Bagi varian automatik GR-DAT pula, GR Corolla 2026 menawarkan mod manual dengan susunan tuil gaya sequential. Tuil perlu ditolak ke hadapan untuk menurunkan gear dan ditarik ke belakang untuk menaikkan gear, sama seperti susunan yang sering digunakan dalam jentera perlumbaan.
Salah satu komponen penting yang membentuk karakter GR Corolla ialah sistem pacuan semua roda GR-FOUR.
Sistem tersebut hadir dengan tiga tetapan utama. Mod Normal menggunakan agihan kuasa 60:40 untuk pemanduan harian, manakala mod Gravel menawarkan agihan 50:50 bagi permukaan yang mempunyai tahap cengkaman lebih rendah.
Mod Track pula mampu mengubah agihan tork secara aktif antara 60:40 hingga 30:70, bergantung kepada input pemandu serta keadaan semasa kenderaan.
Keupayaan pengendaliannya turut diperkukuh menerusi penggunaan Torsen LSD pada gandar hadapan dan belakang. Sistem suspensinya pula menggunakan topang MacPherson di hadapan serta konfigurasi double wishbone di belakang yang menerima talaan khusus daripada bahagian GR.
Gabungan tersebut membantu meningkatkan kestabilan, kawalan serta keyakinan ketika kereta melalui selekoh.
Berbanding model 2023, Toyota GR Corolla 2026 bukan sahaja menerima pilihan transmisi automatik, malah turut hadir dengan beberapa peningkatan penting.
Tork enjinnya meningkat daripada 370 Nm kepada 400 Nm, manakala kuasa maksimum kekal pada 300 PS.
Bahagian hadapan turut direka semula dengan penggunaan gril Matrix v2 bagi membantu meningkatkan aspek aerodinamik dan penyejukan. Ia turut disokong oleh penambahbaikan pada sub-radiator, sistem aliran udara serta kipas penyejuk.
Seiring peningkatan tersebut, harga varian manual turut meningkat daripada RM355,000 kepada RM368,950.
Destinasi penulis pada hari tersebut ialah Banting, Selangor menerusi laluan yang biasa digunakan setiap hari untuk ke tempat kerja.
Bagaimanapun, laluan perjalanan dilencongkan sedikit melalui Lebuhraya Persekutuan kerana Lebuhraya KESAS tidak begitu sesak ketika sesi pandu uji berlangsung.
Sebaik tiba di plaza tol, penulis mengambil peluang untuk merasai sendiri tindak balas dan penghantaran tork yang ditawarkan oleh enjin tiga silinder turbo ini.
Memang mengujakan.
Kuasa disampaikan dengan pantas, pertukaran gear terasa lancar dan setiap tekanan pada pedal pendikit membuatkan kereta ini terasa cukup hidup. Walaupun hanya dinikmati dalam tempoh singkat, karakter prestasinya mudah membuatkan pemandu mahu terus berada di belakang stereng.
Sepanjang perjalanan, ruang kabin GR Corolla boleh dianggap agak senyap. Namun, terdapat sedikit bunyi daripada tayar yang masuk ke dalam kabin.
Perkara itu masih boleh diterima kerana tayar yang digunakan lebih menjurus kepada pemanduan berprestasi tinggi.
GR Corolla dipadankan dengan rim Enkei bersaiz 18 inci dan tayar Yokohama Advan Apex V601 berukuran 235/40R18.
Sistem breknya pula menggunakan cakera berliang dan beralur bersama angkup monoblok empat piston di hadapan serta dua piston di belakang. Gabungan tersebut memberikan tahap keyakinan yang lebih baik, terutama ketika mengawal sebuah jentera dengan prestasi seperti ini.
Setibanya di Banting, penulis singgah sebentar di sebuah masjid sekitar Kampung Bandar untuk menunaikan solat Jumaat.
Pada awalnya, timbul juga sedikit kebimbangan untuk meletakkan kereta ini di ruang parkir biasa. Dari sudut fizikal, GR Corolla kelihatan agak lebar, terutama dengan rekaan badan lebar pada bahagian belakang.
Namun, selepas mencubanya sendiri, saiz tersebut tidak terlalu menyukarkan proses parkir. Ruang parkir biasa masih praktikal untuk digunakan dan dimensi kereta ini mudah dijangka dari tempat duduk pemandu.
Selesai menunaikan solat, perjalanan diteruskan melalui beberapa jalan kampung sekitar Banting untuk merasai sendiri tindak balas sistem suspensinya di atas permukaan jalan yang kurang rata.
Tidak dinafikan, talaan suspensinya terasa sedikit keras. Namun, perlu difahami bahawa GR Corolla merupakan sebuah kereta berprestasi yang memerlukan talaan suspensi sesuai untuk kestabilan dan kawalan pada kelajuan tinggi.
Bagi penulis, tahap kekerasan tersebut bukanlah masalah besar. Unsur keselesaan masih wujud dan kereta ini masih selesa digunakan di atas jalan biasa.
Selepas selesai melalui laluan kampung, penulis meneruskan perjalanan kembali ke pejabat untuk merekodkan semua maklumat yang diperoleh sepanjang sesi pandu uji.
Dalam perjalanan pulang, penulis sempat merasai sendiri penghantaran kuasa GR Corolla pada kelajuan yang sedikit lebih tinggi, namun masih dalam lingkungan had kelajuan kebangsaan.
Tekanan pada pedal pendikit terus disambut dengan kuasa yang pantas. Daya G yang terhasil dapat dirasai dengan jelas, manakala kawalan badan kekal stabil dan meyakinkan.
Suspensi talaan GR dengan topang MacPherson di hadapan, double wishbone di belakang serta Torsen LSD pada kedua-dua gandar memainkan peranan penting dalam memastikan kereta kekal seimbang, khususnya ketika melalui selekoh.
Selain prestasi enjin dan pengendalian, sistem penyejukan GR Corolla turut menerima beberapa peningkatan.
Kipas penyejuk berprestasi tinggi digunakan untuk mengoptimumkan aliran udara dan memastikan suhu enjin kekal terkawal, termasuk ketika kereta dipandu secara agresif.
Varian automatik turut dilengkapi penyejuk minyak transmisi ATF yang menggunakan gabungan sistem berasaskan air dan udara untuk mengekalkan suhu transmisi pada tahap optimum.
Rekaan fender hadapan yang lebih lebar bukan sahaja memberikan penampilan lebih berotot, malah membantu menguruskan aliran udara bagi meningkatkan kestabilan serta kawalan.
Pada bahagian hadapan, gril Matrix v2 bersama sub-radiator yang ditambah baik membantu mengurangkan rintangan udara. Udara turut disalurkan dengan lebih terus bagi meningkatkan kecekapan penyejukan dan memastikan suhu enjin kekal optimum.
Satu lagi elemen yang mudah menarik perhatian ialah sistem ekzos tiga muncung yang menjadi identiti utama GR Corolla.
Konfigurasi tersebut bukan sekadar untuk penampilan. Ia membantu menyokong output enjin yang lebih tinggi, selain menghasilkan bunyi ekzos yang lebih garang.
Sistem ini dilengkapi injap dan aktuator ekzos yang akan terbuka bagi mengurangkan tekanan balik ketika enjin menghasilkan kuasa tinggi. Pada putaran enjin lebih rendah, sistem tersebut turut membantu menghasilkan karakter bunyi yang lebih jelas dan mengujakan.
Begitulah pengalaman sehari bersama Toyota GR Corolla. Rasa keterujaannya masih kekal walaupun selepas kereta dipulangkan.
Ia mempunyai rupa yang menarik perhatian, prestasi yang mengujakan serta karakter pemanduan yang membuatkan pemandu mahu terus berada di belakang stereng. Pada masa sama, Toyota GR Corolla masih menawarkan keselesaan dan praktikaliti yang membolehkannya digunakan sebagai sebuah kereta harian.
Untuk pasaran Malaysia, Toyota GR Corolla 1.6 M/T ditawarkan pada harga RM368,950, manakala varian 1.6 A/T pula berharga RM378,950.
Perbezaan harga antara kedua-dua varian ialah RM10,000. Pembeli boleh memilih sama ada mahu mengekalkan pengalaman pemanduan manual sepenuhnya atau mendapatkan kemudahan transmisi automatik lapan kelajuan GR-DAT.
Suzuki Cars Malaysia dan CARSOME Jalin Kerjasama Strategik Bagi Perkhidmatan Trade-In
Suzuki Cars Malaysia mengumumkan pelantikan CARSOME Malaysia sebagai rakan trade-in rasmi eksklusifnya, sekali gus...